SHAH ALAM - Memberikan kemaafan kepada orang yang memohon maaf serta mengakui kekhilafannya merupakan sifat patut diamalkan seperti mana disaran oleh ALLAH SWT.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana tindakan tersebut merupakan perbuatan terpuji.
Beliau bagaimanapun menegaskan, ia perlu lahir daripada hati yang ikhlas serta bukan bertujuan mempermainkan permohonan maaf tersebut.
“Namun mutakhir ini memohon maaf seolah-olah ia boleh menjatuhkan maruah dan dianggap perbuatan keji. Inilah yang terjadi dalam kehidupan seharian, apatah lagi dalam zaman digital.
“Antara kesombongan dan kemuliaan jiwa manusia tidak akan lepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan kerana sifat selalu melakukan kesalahan dan lupa (untuk belajar daripada kesilapan), maka kita dipanggil manusia.
“Mari kita renungi dalam diri sejauh mana sifat memohon maaf dan memaafkan menjadi amalan kita selaras dengan perintah ALLAH,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria susulan kenyataannya yang menyifatkan pemimpin DAP itu sebagai 'anak YTL'.
Hannah menerusi platform X berkata, fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan terutamanya oleh orang yang beragama.
Sebelum itu, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol, memohon maaf kepada kedua-dua pihak terlibat susulan kesilapan yang dilakukannya.