Pas bidas ahli akademik beri gambaran berat sebelah

SHAH ALAM - Pas membidas ulasan dan cadangan seorang profesor seni bina agar parti itu mengadakan kursus kepada ahli-ahlinya berkenaan nama orang Cina.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, profesor berkenaan bercakap seolah-olah Pas jahil berkenaan dengan adat dan budaya kaum selain Melayu di Malaysia.

Menurutnya, barangkali beliau tidak pernah berkunjung ke Kelantan melihat silang budaya yang sangat harmoni terutama menjelang sambutan Tahun Baharu Cina seperti sekarang.

"Mungkin pada pengetahuan beliau, kaum Melayu, Cina dan India di Kelantan contohnya hidup seperti makhluk asing, tidak bertegur satu sama lain apatah lagi kunjung mengunjung mengenali budaya masing-masing.

"Boleh jadi kerana beliau mengkaji seni bina bangunan melibatkan kayu, simen dan ukiran. Jadi tertinggal mengkaji tentang manusia.

"Hanya beberapa kenyataan daripada beratus ribu ahli Pas yang salah, ia tidak boleh menggambarkan Pas secara keseluruhan," jelasnya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi berharap pihak tertentu mungkin boleh menjalankan kursus kepada pengikutnya tentang sejarah dan makna nama dalam masyarakat Cina.

Katanya, ia supaya tidak ada ahli mereka tersalah anggap nama keluarga pemimpin komunis dengan ahli politik yang bekerja keras di negara atau nama menteri dengan hartawan perniagaan.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan ungkapan yang bukan hadis tetapi disebut sebagai hadis oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Tambahnya, perkara itu merupakan kejahilan DAP secara keseluruhan tentang hadis Nabi.

"Kenapa saya tiba-tiba membangkitkan tentang DAP kerana profesor yang menggunakan gelaran ahli akademik ini ialah seorang ahli DAP yang mengisytiharkan penyertaan ke dalam DAP di atas prinsip Islam.

"Oleh yang demikian, apabila profesor ini menyarankan kepada Pas untuk mencontohi perjuangan Rasulullah SAW, cadangan itu sangatlah bagus.

"Namun persoalannya, apakah ahli DAP ini sendiri berusaha membawa perjuangan DAP mengikuti perjuangan Rasulullah SAW atau tanggungjawab mengikuti perjuangan Nabi itu hanyalah tanggungjawab Pas dan bukan ahli DAP yang muslim?" ujarnya.