'Jangan saman, maafkan saja Razman' - Lee Chean Chung

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh digesa tidak meneruskan niat untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria susulan tuduhan tidak berasas terhadapnya.

Pengarah Komunikasi Nasional PKR, Lee Chean Chung berkata, perkara itu perlu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol berkenaan telah mengakui kesilapan serta memohon maaf kepada Hannah dan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).

"Walaupun saya mempertahankan hak Hannah untuk menuntut keadilan atas kesilapan petikan fakta bahawa dia adalah anak pengasas kumpulan YTL, namun saya tidak bersetuju dengan cadangan beliau ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap Razman.

"Ini kerana Razman telahpun meminta maaf kepada Hannah secara terbuka dan mengakui bahawa percubaan mengaitkan menteri berkenaan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL ini berlaku tanpa sengaja.

"Bagi saya, salah faham sedemikian sebenarnya berpunca daripada kekurangan pengetahuan tentang budaya kaum lain di negara ini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Razman sekali lagi mencipta kontroversi apabila mendakwa Hannah sebagai anak kepada Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay

Sehubungan itu, pada Isnin lalu Razman memohon maaf kepada kedua-dua pihak atas kesilapan yang dilakukannya.

Razman juga mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Hannah dengan konglomerat YTL menerusi video berdurasi 19 saat pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit pada Ahad.

Chean Chung menegaskan salah faham sedemikian sebenarnya berpunca daripada kekurangan pengetahuan tentang budaya kaum lain di negara ini.

"Struktur sosialnya, ianya berakar daripada alam kehidupan sesetengah rakyat Malaysia yang jarang bergaul dan melibatkan diri dalam kegiatan saling budaya. Kelompok ini termasuk semua Cina, Melayu, India, Dayak dan Kadazan.

"Kita harus sedar bahawa polemik yang cuba dicetuskan oleh Razman, jika tidak didepani dengan tepat dan konstruktif, bakal menjarakkan dan bukan mendekati sesama rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Chean Chung menegaskan sebagai pemimpin politik, Razman sepatutnya menyemak fakta terlebih dahulu dan mengenali budaya lain sebelum membuat kenyataan terbuka.

Tambahan pula, Chean Chung berkata, ini bukan kali pertama Razman dan pimpinan Pas lain yang membuat tuduhan melulu berbentuk fitnah terhadap pihak lain.

"Dan kepada Hannah, sekarang merupakan masa terbaik untuk membalas sangkaan jahat dengan hati budi yang menonjolkan nilai saling maaf-memaafkan dan kemuliaan yang sebenar, khususnya sempena perayaan Tahun Baharu Lunar. Ungkapan Madani mengajak kita untuk membina jambatan, dan bukan untuk membakarnya seperti yang dibuat oleh pihak sana," katanya.