KEPALA BATAS - Tindakan segelintir pemimpin Pas yang melemparkan tuduhan palsu dan fitnah melulu telah mencemarkan nama baik Islam serta merosakkan kepercayaan rakyat terhadap politik yang sepatutnya menjadi medan mendidik dan menyatukan umat.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kepala Batas, Abrar Sadiq berkata, kenyataan fitnah beberapa pimpinan Pas sebelum ini membuktikan bahawa sebahagian mereka lebih mengutamakan agenda peribadi dan politik sempit berbanding kepentingan ummah.
Menurutnya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu hanya menguntungkan pihak yang mereka sendiri serang, seperti DAP, dengan memberi peluang kepada mereka untuk memperoleh pampasan besar hasil tindakan undang-undang.
"Sebagai contoh kes Ahli Parlimen Kepala Batas baru-baru ini di mana YB Mastura telah diarahkan membayar saman fitnah sebanyak lebih RM800,000 atas tuduhan palsu yang mengaitkan seorang pemimpin DAP.
"Keputusan mahkamah ini menunjukkan bagaimana budaya fitnah hanya membawa kepada kehancuran integriti," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Terbaharu, Abrar berkata, kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak yang mengeluarkan tuduhan melulu bahawa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kononnya beliau sebahagian daripada keluarga keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.
Tegasnya, tuduhan ini ternyata tidak berasas sama sekali dan menyimpang daripada fakta sebenar.
Beliau berkata, sebagai parti yang membawa prinsip sederhana (wasatiyyah), Amanah menyeru semua ahli Pas yang kecewa dengan budaya fitnah dan politik tidak beretika untuk menyertai parti tersebut.
"Di Amanah kami mengamalkan politik berteraskan akhlak mulia, kejujuran, dan kebenaran, sesuai dengan ajaran Islam yang sebenar.
"Politik tidak harus menjadi alat untuk menjatuhkan lawan dengan fitnah, tetapi untuk membina masyarakat yang harmoni dan adil," katanya lagi.
Tambahnya, masyarakat kini perlu bersama membentuk budaya politik baru yang lebih matang dan bertanggungjawab.
Selain itu, katanya, perlu juga hentikan budaya fitnah dan caci maki serta bina sebuah Malaysia yang bersatu padu berlandaskan nilai-nilai Islam yang rahmatan lil alamin.