Kerajaan perlu dengar keluhan rakyat, jangan sombong - Bekas pemimpin AMK

SHAH ALAM - Kerajaan diingatkan agar bersikap terbuka dan menerima kritikan yang disuarakan golongan mahasiswa terutamanya dalam isu berkaitan rasuah.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman berkata, perkara yang dibangkitkan itu juga mewakili suara rakyat di negara ini.

"Hari ini kedengaran suara mahasiswa kritik kerajaan berkenaan isu rasuah. Bagi pihak kerajaan jangan pula kita balas kritikan adik-adik mahasiswa ini. Suara gesaan kebangkitan ini adalah mewakili golongan rakyat juga.

"Kerajaan perlu prihatin dan mendengar setiap keluh kesah rakyat. Mana yang perlu diperbaiki, maka perbaiki. Jangan sombong....," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sinar Harian melaporkan, ratusan orang hadir pada Himpunan Anti Rasuah pada Sabtu yang berarak dari pusat beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) bermula jam 2 petang tadi ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Peserta himpunan yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut diiringi sebuah pikap.

Sementara itu, Syed Badli Shah pada masa sama turut mengingatkan kerajaan bahawa sebahagian mereka yang berada dalam barisan kabinet juga datang daripada denyut nadi kebangkitan rakyat.

Jelasnya, suara rakyat merupakan keramat.