'Tak apalah kalau kami terkebelakang' - Mat Sabu

KLANG - Parti Amanah Negara (Amanah) mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan 'berdiam diri' dari mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu agama.

Malah Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan, parti itu tidak ambil hati sekiranya dilabel terkebelakang dalam memperjuangkan isu kepentingan Islam demi menjaga perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.

"Bila buat kenyataan kita jangan lupa, negara ini (masyarakat) berbilang bangsa, kaum. Mungkin (kenyataan) kita dapat menyeronokkan satu kaum tetapi telah menyindir satu kaum lain.

"Setiap kenyataan (dikeluarkan) kena jaga sebab kita adalah Rahmatan Lil'alamin untuk semua, sebab itu kenyataan berbentuk perkauman, saya yakin Amanah cuba elakkan," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2024, di sini pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pemua UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa polis menyiasat penjualan 'sandwich ham' tertera logo halal dalam kampus sebuah universiti awam yang disifatkan tidak boleh diterima.

Beliau turut mempersoalkan jaminan keselamatan produk yang mempunyai logo halal yang dijual rangkaian kedai serbaneka terlibat.

Rentetan itu beberapa pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu sengaja mempolitikkan isu berkenaan selain mendakwanya berniat memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menegaskan, Amanah akan memperkasakan penerangan secara berhemah agar tidak menyinggung mana-mana pihak.

"Ketua Pemuda UMNO ada cara dia sendiri dan kita ada cara kita sendiri. Tak apalah (kalau) nak kata kami terkebelakang dalam hal (mengeluarkan) kenyataan.

"Yang pentingnya, kami akan terus bergerak dan penerangan kita bercorak, berhemah untuk semua," ujarnya.