KUANTAN - Pas sekali lagi mengulangi pendirian tegas mereka dalam mempertahankan kuasa prerogatif diraja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Pas Pahang, Aireroshairi Roslan menjelaskan, tuduhan bahawa parti itu membela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu persepsi yang sama sekali tidak benar.
Menurutnya, penjelasan tersebut diberikan susulan polemik yang timbul mengenai pendirian Pas dalam isu Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
"Saya ingin membuat penjelasan bagi mengelakkan sebarang salah faham dalam kalangan rakyat. Pendirian Pas dalam isu ini adalah jelas dan tegas, iaitu kami ingin mempertahankan kuasa prerogatif diraja yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Sebagaimana kami tidak pernah mempertikaikan pengampunan yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu, kami juga mempertahankan kuasa prerogatif yang sama pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook parti tersebut.
Beliau turut mempersoal tindakan menyembunyikan kewujudan Titah Addendum ini sejak Januari tahun lalu.
"Mengapa maklumat penting sebegini dirahsiakan daripada pengetahuan rakyat?
"Di manakah prinsip ketelusan yang sering dilaung-laungkan oleh kerajaan Madani?" soal beliau lagi.
Dalam pada itu, Aireroshairi berkata, isu berkaitan kesalahan dan hukuman adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa mahkamah, manakala kuasa memberikan pengampunan merupakan hak prerogatif mutlak Yang di-Pertuan Agong seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Kami meminta seluruh rakyat Malaysia untuk memahami bahawa isu ini bukan soal membela individu tertentu, tetapi mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negara kita," ujarnya.