SHAH ALAM - Pemuda Pas mengecam tindakan pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad (Berjaya), Tan Sri Vincent Tan berkenaan gesaan beliau agar menamatkan memboikot jenama Starbucks berikutan pengumuman gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa pada Ahad lalu.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kenyataan tersebut menunjukkan tiada langsung sifat empati terhadap umat Islam di Gaza yang diperlakukan kejam oleh Israel selama hampir 500 hari lamanya.
“Perkara itu telah menyebabkan lebih 46,899 warga Palestin di Semenanjung Gaza telah terkorban dengan lebih 110,725 orang dilaporkan cedera.
“Pemuda Pas memandang serius akan kenyataan tersebut yang menyatakan bahawa tiada keperluan untuk memboikot Starbucks kerana Gaza sudah aman,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Vincent Tan berkata, tiada keperluan untuk memboikot jenama Starbucks dan memberi bayangan bahawa jenama tersebut akan kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Tambahnya, tindakan memboikot Starbucks hanya akan merugikan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi berkata, biarpun perjanjian gencatan senjata telah termeterai, namun tiada jaminan ia akan terlaksana dan kekal selamanya berdasarkan rekod Israel yang sentiasa licik melanggar perjanjian.
“Tambahan pula, Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, telah menyatakan bahawa mereka mempunyai hak untuk melancarkan serangan terhadap Gaza selepas berakhirnya gencatan senjata.
“Oleh itu, kita perlu memahami bahawa solidariti boikot yang dilakukan ini bukan bersifat 'one-off', sebaliknya ia merupakan usaha berterusan dalam melumpuhkan mana-mana syarikat pro-Israel yang memberi keuntungan ekonomi kepada mereka untuk meneruskan jenayahnya,” ujarnya.
Menurut beliau, Pemuda Pas sekali lagi menolak dengan tegas kenyataan tersebut dan mengajak seluruh rakyat Malaysia agar meneruskan memboikot sebagai usaha untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.