KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin amat berminat dengan hasil laporan Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Labuan yang dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Beliau berkata, kenyataannya mengenai isu harga ayam di Sabah yang lebih tinggi mendapat respons yang baik daripada menteri dan timbalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Ini menunjukkan keprihatinan mereka terhadap isu yang dibangkitkan, khususnya di Sabah. Saya juga menyambut baik usaha yang dilaksanakan melalui kajian oleh UMS dan Unimas dan saya amat berminat menunggu laporan kajian tersebut.
"Saya yakin hasil kajian ini akan memberi gambaran yang lebih jelas terhadap punca perbezaan harga barang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, seterusnya membantu mencari penyelesaian jangka panjang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menjelaskan dakwaan isu harga ayam yang mencecah RM16.50 untuk satu kilogram itu, bekas Timbalan Ketua Menteri itu memaklumkan bahawa maklumat tersebut diterima daripada orang awam.
"Saya telah meminta agar mereka melaporkan segera lokasi di mana harga sebegini masih dijual. Jika benar masih ada, pihak penguatkuasa KPDN perlu segera mengambil tindakan.
"Namun, saya percaya selepas isu ini tular, kemungkinan besar penjual tidak lagi berani menawarkan harga seperti itu secara terang-terangan," katanya.
Bagaimanapun, dalam masa sama UMNO Sabah melalui Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti, Datuk Awang Aslee akan menghantar memorandum dan aduan secara rasmi kepada KPDN mengenai harga ayam itu.
"Isu harga ayam yang mahal di Sabah sememangnya bukan isu baru. Namun, ia bukan alasan untuk mana-mana pihak, khususnya kerajaan hari ini, memberi jawapan mudah yang seolah-olah menafikan usaha kerajaan terdahulu dalam menangani masalah yang sama.
"Apa yang diperlukan ialah komitmen untuk menyelesaikan isu ini secara berkesan. Harga ayam bukan isu politik tetapi isu rakyat dan ia adalah keperluan asas yang harus ditangani secara bersama dan holistik," katanya.
Sehubungan itu, kerajaan perlu mengambil langkah segera kerana ia semakin membebankan rakyat Sabah terutama mereka yang berpendapatan rendah.
"Selain harga ayam, banyak lagi barangan keperluan lain yang juga mengalami jurang harga yang besar antara Sabah dan Semenanjung.
"Apa yang saya sampaikan ini adalah antara keluhan rakyat akar umbi dan memikirkan dengan rasional kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi saban hari.
"Bayangkan, jika rakyat Sabah hanya mampu membeli sekilogram ayam, rakyat di Semenanjung sudah boleh mendapatkan dua kilogram dengan harga yang sama.
"Oleh itu, saya menyeru bukan sahaja KPDN tetapi juga semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan jurang harga barang keperluan ini, khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya.