Insiden pukul OKU: Kor Ming gesa PDRM ambil tindakan tegas

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat dalam kejadian memukul lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, Kemaman.

Kor Ming yang juga Ketua Whip DAP berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudfin untuk memastikan semua yang terlibat dalam kes tersebut diambil tindakan undang-undang dengan segera.

"Tindakan mengejutkan ini menghakis nilai-nilai kasih sayang dan keharmonian yang sepatutnya dijulang dalam masyarakat berbilang kaum.

"Saya menyeru pihak berkuasa bertindak tanpa berlengah dan memastikan mereka yang terlibat menerima hukuman yang setimpal dengan undang-undang.

"Kita mesti memastikan golongan OKU dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan dan jenayah kekerasan," katanya pada Selasa.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi 1 minit 52 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pada pagi Jumaat.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca apabila mangsa yang merupakan OKU mental, menunggang motosikal dan memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai yang menyebabkan makanan jualan di gerai berkenaan terjatuh.

Setakat ini, sebanyak lima lelaki berumur antara 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan.