Amanah selar Pas, sibuk canang calon PM

KOTA BHARU - Tindakan Pas mencanang calon Perdana Menteri dan sibuk mahu 'tebuk atap' memperlihatkan parti itu tidak faham konsep demokrasi yang menjadi tunjang kepada pentadbiran di negara ini.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Abdul Samad berkata, Pas sepatutnya faham konsep tersebut dan rakyat telah membuat keputusan dengan memilih Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negara ketika ini.

"Sistem demokrasi yang menang jadi kerajaan, kalah jadi pembangkang. Pembangkang yang baik hormat pilihan rakyat dan bantu kerajaan dalam wujudkan urus tadbir lebih baik.

"Berbeza dengan Pas, bila mereka anggap tanggungjawab dia (Pas) adalah untuk menjatuhkan kerajaan dengan apa cara sekali pun," katanya yang merupakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) semasa sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu KADA 2025 di sini pada Selasa.

Menurut beliau, sekiranya naratif menggulingkan kerajaan terus dimainkan ia memberi kesan tidak baik kepada negara.

Ujarnya, situasi itu menyebabkan pelabur akan melarikan diri sekali gus merugikan negara.