'Kalau lompat, saya cari sampai lubang cacing' - Dr Akmal

PUTATAN - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi amaran keras kepada calon Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang yang cuba mengkhianati parti dengan menukar sokongan kepada pihak lain.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, beliau adalah orang pertama yang akan ke hadapan mengecam tindakan wakil rakyat yang bertindak menukar sokongan kepada pihak lain.

"Saya nak bagi amaran juga kepada pemimpin-pemimpin kita yang lepas ini yang menjadi calon dan menang. Kamu lompat saya akan cari kamu sampai ke lubang cacing untuk gantikan maruah kita.

"Saya tidak kira, hari itu bila enam ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masuk dalam Kerajaan Perpaduan sayalah orang pertama yang bantai dan bangkang.

"Apabila orang UMNO masuk Pas, sayalah orang pertama yang bangkang, sebab apa? Saya benci katak, kita kena tolak katak-katak ini," katanya ketika berucap pada majlis santai makan malam bersama anak muda dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, di Medan Selera di sini pada malam Isnin.

Tegas Dr Akmal, beliau tidak akan menerima pemimpin yang mengkhianati parti dengan beralih sokongan kepada pihak tertentu kerana yang memberi kemenangan kepada mereka adalah jentera dan pengundi.

"Saya tidak akan terima lagi katak. Tapi kalau kamu katak, saya berjanji di bumi bertuah ini, saya akan cari kamu dalam lubang cacing.

"Kenapa? Kamu menang disebabkan ini, muka-muka ini (penyokong) yang tiada langsung satu sifat peribadi untuk menangkan kamu. Yang kamu menang, kami ini yang tak tidur malam, yang turun ke bawah, tapi kalau kamu menang kamu lupa rakyat, siap kamu. Pemuda UMNO cari kamu sampai dapat," tegasnya.

Sebelum itu, hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed yang juga bakal calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.