KERAJAAN Selangor akan terus berusaha membasmi kemiskinan penduduk selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memastikan setiap rakyat termasuk masyarakat desa dapat menikmati kehidupan lebih sejahtera dan berkualiti.
Ini menjadi keutamaan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman dalam usahanya mengurangkan ketidaksamaan dan memperkasa masyarakat desa melalui pelbagai inisiatif pembangunan, peluang ekonomi dan akses kepada pendidikan.
**media[2974358]**
Ikuti wawancara Sinar Harian, MOHD AZLIM ZAINURY bersama Papparaidu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting dalam memastikan taraf kehidupan rakyat di negeri Selangor khususnya masyarakat desa dapat ditingkatkan.
SINAR HARIAN: Bagaimana YB dapat merencanakan tugas-tugas sebagai ADUN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)?
PAPPARAIDU: Peranan sebagai Exco sememangnya sibuk dengan jadual yang padat namun tugas saya sebagai ADUN Banting juga perlu diutamakan.
Hari Isnin, Selasa dan Rabu saya berada di Pejabat Exco untuk urusan di bawah Jawatankuasa Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan.
Pada setiap Khamis pula saya berada di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting untuk sesi bertemu rakyat.
Pada Jumaat saya akan berada di Pejabat Exco atau Pejabat DUN Banting manakala pada Sabtu dan Ahad saya akan memenuhi jemputan program di seluruh Selangor.
Ringkasnya, saya akan bahagi tugas mengikut hari namun tertakluk kepada situasi tapi adakala tidak dapat dipenuhi seperti mana yang dirancang atas faktor tugas dan kekangan masa.
SINAR HARIAN: Pastinya YB meletakkan wawasan dan sasaran serta pencapaian dalam perkhidmatan sebagai ADUN dan Exco, boleh YB kongsikan mengenai hal ini?
PAPPARAIDU: Sebagai Exco Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan, keutamaan saya adalah untuk menurunkan kadar kemiskinan tegar ke tahap sifar.
Walaupun terdapat sesetengah keluarga berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan namun saya sendiri masih belum berpuas hati disebabkan konsistensi keluarga tersebut yang bagi saya belum tercapai.
Saya lihat kawasan Anjung Utara Selangor bermula dari Kuala Selangor hingga ke Sabak Bernam antara kawasan yang perlu dibantu lagi.
Namun usaha dan perancangan ke arah itu telah saya lakukan dan menampakkan beberapa perubahan antaranya peningkatan ekonomi keluarga terbabit apabila mereka diberi peluang memohon Bantuan Blueprint dari kerajaan negeri Selangor.
Mereka manfaatkannya dengan membuka perniagaan, sekali gus membolehkan mereka berdikari untuk meningkatkan pendapatan keluarga.
Selain itu, pemberian baucar perayaan secara sekali gus juga banyak membantu keluarga yang miskin walau impaknya kecil.
Agenda mengangkat peranan rakyat Selangor pula terus diberi penekanan lebih kehadapan melalui Jawatankuasa Sumber Manusia terdapat di bawahnya Ketua Penyelaras Unit-Unit antaranya MySEL - Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri, UPPS - Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor, iSEED - Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor dan Unit Komunikasi Orang Asli.
Sebagai ADUN Banting pula, isu jenayah, penyalahgunaan dadah serta pendidikan adalah antara perkara yang saya lebih berikan perhatian termasuk isu infrastruktur.
Antara inisiatif yang saya telah dan masih lakukan adalah pemberian wang tunai sagu hati sebanyak RM500 kepada anak-anak yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta kepada mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Tidak dilupakan juga sebanyak RM200 wang tunai diberikan kepada pelajar yang mempunyai pencapaian baik dari segi akademik dan sukan di peringkat daerah dan negeri.
Pendidikan adalah perkara utama yang perlu diberikan perhatian serius supaya isu-isu negatif lain dapat dikurangkan malah dihapuskan supaya tidak terus membarah dalam kalangan masyarakat.
Pendidikan ini antara inti pati utama manifesto pilihan raya lalu yang saya tunaikan kepada rakyat Banting selain dari segmen lain iaitu belia, usahawan, warga emas, serta isu-isu Infrastruktur.
SINAR HARIAN: Mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada setiap ADUN. Apakah KPI yang telah dicapai oleh YB?
PAPPARAIDU: Untuk menjawab soalan ini, jawapan ada pada rakyat DUN Banting. Bagaimana saya memberi perkhidmatan kepada mereka dan bagaimana saya menyelesaikan isu setempat. Semua perkara tersebut saya serahkan kepada rakyat untuk menilainya.
Setakat ini penerimaan rakyat terhadap saya baik dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi di atas kerjasama diberikan oleh rakyat khususnya di DUN Banting.
SINAR HARIAN: Bagaimana YB dapat membahagikan masa antara keluarga dengan tugas berat sebagai ADUN dan Exco?
PAPPARAIDU: Isteri saya, Maheswari banyak membantu saya dalam menguruskan keluarga dan anak-anak serta menjadi tulang belakang dalam keluarga.
Cuma setiap tahun saya akan wajib ambil cuti untuk pergi bercuti bersama isteri dan anak-anak.
Itu sahajalah masa terbaik yang akan saya luangkan bersama mereka. Selain itu mereka sudah faham tugasan saya sebagai ahli politik dan YB iaitu ‘Yang Berkhidmat’ kepada masyarakat.