Komponen Kerajaan Perpaduan tidak boleh bersikap sambil lewa - Adam Adli

SHAH ALAM - Semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan tidak boleh bersikap sambil lewa, meskipun wujud dakwaan berlaku pepecahan dalam Perikatan Nasional (PN) yang dikaitkan dengan perebutan calon Perdana Menteri antara pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim berkata, komponen Kerajaan Perpaduan terutamanya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya harus memanfaatkan peluang tersebut untuk memperkukuhkan lagi kerjasama.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan, tindakan tersebut amat penting bagi memastikan Kerajaan Perpaduan kekal fokus sebagai sebuah gabungan yang relevan dan dapat diterima oleh rakyat.

"Memang dalam setiap parti politik, pasti akan ada perbincangan mengenai siapa bakal calon Perdana Menteri dan siapa yang akan memimpin jika mereka berjaya dalam PRU16.

"Namun, saya pelik dengan sikap pemimpin Pas dan Bersatu yang kini dilihat berebut-rebut untuk menunjukkan parti mana yang lebih kuat dan berkuasa dalam PN.

"Oleh itu, PH melihat tindakan Pas yang menyatakan mereka lebih layak menjadi Perdana Menteri sebagai sesuatu yang janggal dan menggambarkan ketidakstabilan dalam PN," dakwanya.

**media[2972987]**

Adam Adli berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pemuda Pas yang mengakui bahawa parti itu memiliki calon yang mampu memenuhi kriteria serta syarat-syarat sekali gus membolehkannya memegang jawatan Perdana Menteri.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Pemuda Pas Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi menyatakan, Pas diperkukuhkan dengan ciri-ciri kepimpinan bijak, strategi berkesan dan kerjasama erat bersama pelbagai pihak.

Namun, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin menegaskan, cita-cita Pas hanya boleh direalisasikan jika mereka menang dengan majoriti besar dalam PRU16 dan mendapat restu daripada parti komponen PN lain, terutamanya Bersatu.

Dalam pada itu, Adam Adli berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diangkat sebagai calon utama Perdana Menteri dalam PRU16.

Katanya, hingga kini, tiada sebarang polemik atau perbincangan dalam kalangan pemimpin Kerajaan Perpaduan mengenai siapa yang akan menggantikan Anwar sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU16.

"Sebagaimana yang kita ketahui, beliau memainkan peranan penting dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan dan memastikan kestabilan kerajaan ini kekal hingga kini.

"Oleh itu, saya berpendapat semua parti dalam Kerajaan Perpaduan mahu Datuk Seri Anwar kekal sebagai calon tunggal Perdana Menteri dalam PRU16 nanti," katanya.

Adam Adli turut mengesahkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua AMK kerana usianya kini melebihi had yang ditetapkan oleh Perlembagaan PKR.

Sehubungan itu, bekas aktivis pelajar tersebut menegaskan bahawa beliau masih memikirkan jawatan yang sesuai untuk ditandingi dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi PKR yang dijadualkan pada Mei depan, selepas mengambil kira sokongan daripada akar umbi parti terbabit.