Tambang bas sekolah: Pas persoal kenyataan Anwar, Anthony bercanggah

SHAH ALAM - Pas mempersoal percanggahan kenyataan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berhubung isu kenaikan harga tambang bas sekolah.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Anthony tiba-tiba menyatakan kerajaan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang kenaikan harga tambang bas sekolah yang dijangka berlaku pada Februari depan.

Sedangkan, menurutnya, Anwar sebelum ini dengan tegas memberi amaran kepada pengusaha bas sekolah agar tidak menaikkan tambang perkhidmatan kerana kenderaan itu menerima subsidi diesel daripada kerajaan.

"Perdana Menteri telah menyebut bahawa kalau pengusaha bas menaikkan tambang kerajaan akan tarik lesen. Hebat ucapan itu saya pun sokong hampir nak melompat. Kita bertepuk tangan pada masa itu.

"Tiba-tiba sekarang Menteri Pengangkutan kata kerajaan tak ada kuasa, ini yang pelik, siapa yang betul, siapa yang tak betul, Menteri Pengangkutan betul atau Perdana Menteri tak betulkah?

"Atau Perdana Menteri yang tak betul dan Menteri Pengangkutan yang betul atau kedua-duanya tak betul? Kalau semua sudah tak betul, memang kena turunlah kerajaan sekarang ini, setuju atau tidak setuju?" soalnya menerusi sebuah video di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang kenaikan harga tambang bas sekolah yang dijangka berlaku pada Februari ini.

Anthony Loke berkata, pihak kementerian tidak bertanggungjawab mengawal kadar tambang bas sekolah kerana isu itu tidak berada di bawah bidang kuasa mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu kenaikan tambang bas sekolah yang dijangka meningkat antara RM5 hingga RM10 selepas sidang media Pengumuman Perubahan Jadual Waktu KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral-Pelabuhan Klang Selangor pada Jumaat.

Jun lalu, Anwar mengatakan kerajaan akan menarik balik dan membatalkan lesen sekiranya terdapat pihak yang sengaja menaikkan harga barangan atau perkhidmatan.

Beliau berkata, tindakan tegas itu harus diambil berikutan penyasaran subsidi bahan bakar tersebut dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.