MERSING - Calon BN Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad akui sudah menjangkakan provokasi akan berlaku dalam PRU14 kali ini.
Menurutnya, apa pun pandangan rakyat terhadapnya, beliau tetap berlapang dada.
"Sebagai calon yang dah bertanding kali keenam, perkara-perkara begini sudah menjadi lumrah kepada saya sebagai seorang yang memahami sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.
"Saya amat berlapang dada kerana itu adalah sebahagian daripada proses politiking bukan kepada politik. Perkara-perkara sebegini memang sudah saya jangkakan," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas soal kain rentang yang digantung di beberapa lokasi menolak pencalonannya dalam pilihanraya kali ini.
Semalam, tiga jejantas di daerah ini menjadi perhatian selepas beberapa kain rentang bermesej dituju untuk sultan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menolak pencalonan Abd Latiff dipasang.
Sebelum ini, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan pencalonan semula Abd Latiff bagi mempertahankan kerusi Parlimen Mersing dalam PRU14 ketika merasmikan sebuah program di Tanjung Penyabong.
Mengulas lanjut, Abd Latiff sempat menegur pihak yang bertanggungjawab dengan insiden kain rentang itu agar tidak mengheret institusi diraja dalam perkara itu.