Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (TKP)(Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil dalam pembentangannya pada September 2018 menjelaskan pengisytiharan harta adalah penting bagi membendung rasuah dan konflik kepentingan, mengesan salah guna jawatan awam, memastikan integriti penjawat awam, dan mengesan pengumpulan kekayaan secara haram.
Sejak 2018, usaha mewajibkan amalan ini kepada Anggota Kabinet, Hakim-hakim, Ahli Parlimen, dan penjawat awam giat dijalankan SPRM.
Usul meminta Ahli Parlimen termasuk isteri atau suami, anak berusia lebih 21 tahun, dan pemegang amanah membuat perisytiharan harta dibentangkan kerajaan pada Julai 2019, untuk dipaparkan kepada umum di laman web SPRM.
Bank Dunia turut mengiktiraf perisytiharan harta sebagai satu cara amat berkuasa untuk membanteras rasuah, konflik kepentingan dan mengesan pengumpulan kekayaan secara salah dalam kalangan penjawat awam.
Pengisytiharan harta dalam kalangan calon-calon bertanding pilihan raya pula barangkali ada elemen sensasinya yang tersendiri berbanding amalan yang sama dalam kalangan penjawat awam dan lain-lain.
Sebagai contoh, persepsi yang berupaya dibina dari praktik ini adalah: calon yang melaksanakannya lebih telus, terbuka, berani dan terhindar dari amalan kewangan yang tidak sihat, manakala yang tidak melakukannya pula tidak ada ciri-ciri tersebut.
Modal politik?
Berdasarkan pemerhatian, setakat ini hanya calon-calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Pakatan Harapan (PH) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) membuat pengisytiharan harta mereka. Pada masa yang sama, terdapat juga calon-calon PEJUANG dan BERSATU yang menyokong amalan ini, namun belum melaksanakannya.
Pada peringkat seterusnya, ia berupaya dijadikan bahan kempen atau modal politik parti yang bertanding; baik kepada calon yang membuat pengisytiharan harta mahupun kepada calon yang tidak membuat pengisytiharan harta.
Sebagai contoh, apabila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan hartanya kepada umum, ia dijadikan sasaran parti lawan apabila kekayaan pengasas INVOKE itu yang berjumlah RM18 juta dipersoalkan sebagai terlalu tinggi dan tidak wajar.
Persoalan-persoalan tersebut walau bagaimanapun dijawab Rafizi dengan mengemukakan kelebihan syarikat pemula berasaskan teknologi itu yang dinilai bukan semata-mata atas keuntungan tahunan sebaliknya kepada pelbagai faktor lain termasuk potensi platform dan sebagainya.
Soal-jawab yang timbul dari praktik ini walau bagaimanapun tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak melaksanakannya di peringkat calon-calon yang bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Praktik ini masih baik sebagai senjata berkuasa membanteras rasuah dan segala usaha memastikan ia dilaksana harus disokong semua pihak tanpa mengira sentimen politik kepartian.