JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (Harapan) Johor tidak melihat satu keperluan untuk melakukan kempen secara terlalu agresif di saat akhir tempoh berkempen.
Perkara itu kerana, ketika ini kebanyakan daripada pengundi sudah mempunyai pilihan masing-masing ditambah pula sesi pengundian awal dan pos juga sudah selesai dijalankan.
Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Osman Sapian berkata, ketika ini parti hanya memberi tumpuan kepada kawasan yang belum dilawati dan dikategorikan sebagai hitam sebelum menjelang hari pembuangan undi nanti.
“Sekarang ini tinggal dua hari lagi, kita mahu melawat tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai, kenalkan diri. Kita dah buat pemasangan bendera walaupun tidak seberapa kerana daripada segi kewangan kita amat terhad jika dibandingkan dengan pihak sana, jadi kita membuat kerja-kerja itu atas kemampuan kita.
“Setakat ini syukur, reaksi orang ramai dan masyarakat nampaknya bersemangat untuk menyokong Harapan, apa yang kita perlukan dalam strategi akhir ini adalah calon mesti keluar di mana tempat kalau kita kenal pasti tempat itu belum kita lawati atau tempat yang dianggap hitam kepada kita, kita kena bilas lagi sekali sebab setiap ceramah dan walkabout kita buat pihak sana pun buat.
“Memang lah daripada segi letih memang letih tapi ini PRU bukan mudah kerjanya untuk nak jadi YB, tambahan pula dengan status kita sebagai pembangkang kita tidak dapat kemudahan awam lain seperti BN,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, sebentar tadi.
Osman berkata, Harapan juga kini dalam proses melakukan satu ceramah mega yang mana akan dijadikan pusat untuk semua pemimpin atasan mereka berucap dan memberi amanat kepada penyokong buat kali terakhir sebelum pembuangan undi.
“Kita akan adakan sesi ucapan dan amanat secara langsung menggunakan aplikasi sosial, esok malam kita buat, yang mana Tun Dr Mahathir Mohamad akan berucap dan dipancarkan di setiap khemah jentera serta bahagian yang kita ada.
“Macam di Pejabat Bersatu ini, esok petang kita dah sediakan skrin layar juga di semua khemah jentera semua 26 bahagian, kita harap semua pengundi dan penyokong mendengar amanat terakhir Tun sebelum kita buang undi pada 9 Mei pagi itu,” katanya.
Namun, jelasnya, perjuangan Harapan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka tidak akan mudah dilenturkan malah akan mencuba sedaya upaya usaha dalam mendapatkan undi dari penyokong.
“Bukan kita perlahankan kempen, kita cuma mengambil langkah bijak dan mahu berstrategi. Tujuan kita adalah untuk bina kerajaan baru dan bangunkan semula Malaysia.
“Niatnya jelas begitu, jadi usaha yang diberikan memang akan berlipat ganda, walaupun sebenarnya gerakan menemui rakyat ini kita dah mula lama malah sebelum penamaan lagi,” katanya.