Penduduk mengeluh terbeban GST: Sheikh Omar

JOHOR BAHRU - Calon Pakatan Harapan (Harapan) Dun Paloh, Sheikh Omar Ali menjelaskan rata-rata penduduk di kawasan berkenaan mengeluh kerana terbeban dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan BN.

Katanya, respons tersebut diperoleh ketika melakukan sesi kunjungan selama dua hari di Dun Paloh babit Kampung Melayu Batu 4 di Jalan Paloh-Yong Peng dan Felda Kahang Barat.    

“Cukai GST antara yang ditekankan oleh seorang pak cik yang kami santuni semalam. Katanya, pelaksanaan cukai GST oleh kerajaan BN telah menyebabkan harga baja meningkat mahal berbanding sebelumnya. 

“Malah, mereka juga mengeluh memikirkan harga kelapa sawit yang semakin menurun dan dikeruhkan lagi dengan skandal mega yang melibatkan Felda,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Sheikh Omar berkata, keluhan penduduk Kampung Melayu Batu 4 dan Felda Kahang Barat menjadi petunjuk jelas bahawa pengundi di kawasan luar bandar yang majoritinya adalah orang Melayu menerima tekanan langsung akibat kos sara hidup.

“Walaupun BN cuba melegakan masalah ini dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan penganjuran Jualan Sentuhan Rakyat serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M 2.0) namun semua ini merupakan cara ‘syok sendiri’ yang berpaksikan kepentingan politik semata-mata dan dan bukan penyelesaian tuntas bersifat jangka panjang.

“Justeru itu, saya menyeru pengundi Paloh khususnya di lokaliti melibatkan ladang-ladang, estet, serta Felda agar menjadikan PRU14 sebagai medan untuk melakukan perubahan dan memberi peluang kepada Harapan memimpin kerajaan dan melaksanakan dasar baharu yang dapat membela nasib rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Harapan bersetuju menganjurkan satu program penerangan yang lebih besar bagi memastikan maklumat terkini dapat diuarkan-uarkan kepada rakyat.

Sheikh Omar AliJohor Bahru Pakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :