KUALA PILAH - Meskipun berlaku perubahan calon BN Dun Senaling, namun penerimaan rakyat tetap berpegang teguh dan bersemangat untuk membawa kemenangan BN pada PRU14.
Calon BN N17 Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan ibarat calon idaman oleh penduduk di Dun Senaling.
Ini diperakui sendiri Pengerusi JKKK Dioh, Azaman Abdullah, bahawa walaupun mantan wakil rakyat Dun Senaling, Datuk Ismail Lasim bertanding di Dun Juasseh pada PRU14, tetapi individu yang menggantikan beliau juga cukup hebat.
“Penduduk pastinya sedih kerana Datuk Ismail sudah berada empat penggal di Dun Senaling dan kali ini bertanding di kawasan lain pula. Bagaimanapun kami akur dengan segala keputusan pucuk pimpinan.
“Hubungan baik terjalin erat antara beliau meninggalkan kesan mendalam kerana beliau sangat rapat dengan kami. Kami akan sentiasa mengenang jasanya sepanjang menjadi wakil rakyat di Dun Senaling.
“Malah kami berbangga dan menerima dengan hati terbuka calon baharu Datuk Adnan bagi menerajui Dun Senaling sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk BN menang pada PRU14.
"Beliau memang calon idaman buat semua penduduk di sini,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Rosly Ismail berkata, sesiapa jua calon yang bertanding di Dun Senaling, masyarakat tiada bantahan namun perlu bersesuaian.
“Syukur, calon menggantikan wakil rakyat terdahulu ternyata memiliki kredibiliti tersendiri.
"Malah beliau (Adnan) pernah menjadi wakil rakyat di Dun Pilah pada PRU2008.
“Pastinya beliau sudah cukup berpengalaman untuk membantu rakyat di sini malah berpendidikan tinggi lulusan Universiti Malaya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang kepujian,” katanya.
Dalam pada itu, katanya berharap agar calon baharu dapat meneruskan legasi sedia ada dan membawa perubahan lebih baik demi kesejahteraan rakyat Dun Senaling.
Sementara itu, Adnan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Umno Kuala Pilah bertanding sekali lagi pada PRU14 setelah berkhidmat di Dun Pilah pada 2008 hingga 2013.
Beliau juga memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Institusi Penyelidikan dan Pembangunan Malaysia hingga kini, pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Pilah 2008 hingga 2013.
Adnan mendirikan rumah tangga bersama Datin Ramadhawati Wahab dan dikurniakan lima orang cahaya mata lelaki.