KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menerima pujian daripada rakan-rakan wakil rakyat selepas dilaporkan menjadi satu-satunya Ahli Parlimen pembangkang yang kekal berada di dalam Dewan Rakyat pada malam Isnin.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menerusi satu hantaran di platform X malam ini.
“Syabas Besut (Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh), pembangkang terakhir yang masih dalam Dewan. Last man standing,” tulisnya ringkas.
Situasi tersebut turut disahkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang memaklumkan bahawa hanya Che Mohamad Zulkifly kekal berada dalam sidang dewan ketika jam menunjukkan jam 8.25 malam.
**media[3210298]**
“Pada jam 8.25 malam, YB Besut adalah satu-satunya MP pembangkang yang masih berada dalam dewan. Tahniah. Di mana MP pembangkang lain? Mungkin sibuk merancang demo Turun Anwar?” ciapnya secara sinis.
Tindakan sebahagian besar wakil rakyat pembangkang meninggalkan dewan sebelum sesi tamat mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, termasuk ada yang mempersoalkan komitmen mereka terhadap tugas sebagai ahli Parlimen.
Namun begitu, kehadiran Che Mohamad Zulkifly sehingga ke akhir sesi dilihat sebagai satu bentuk tanggungjawab dan komitmen terhadap tugas sebagai wakil rakyat.