SHAH ALAM - “Ujian sebenar adalah istiqamahnya menegur kawan dalam parti dan kerajaan.”
Demikian luahan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi satu rakaman video pendek yang dimuat naik di platform media sosial peribadinya pada Isnin.
Dalam klip video itu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan menyifatkan keberanian menegur rakan seperjuangan jauh lebih mencabar berbanding berdepan dengan lawan politik.
Menurut beliau, ramai yang melihat kekuatan seseorang pemimpin berdasarkan kelantangan terhadap musuh politik, namun ujian sebenar adalah apabila seseorang itu mampu menegur pihak sendiri demi prinsip.
“Sebab itu bagi saya, ujian sebenar seorang pemimpin bukanlah lantangnya dia semasa berhadapan dengan lawan. Ujian sebenar ialah istiqamahnya menegur kawan dalam parti dan kerajaan.
“Kerana menegur kawan itu lebih susah dari menegur lawan,” katanya.
Rafizi turut mengakui bahawa beliau kini menjadi sasaran kritikan daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan kepimpinan PKR dan juga Pas.
“Semua tak puas hati dengan saya sekarang,” katanya.
Menurutnya, pandangan yang disuarakannya dalam isu-isu tertentu telah menimbulkan rasa kurang senang segelintir pemimpin partinya sendiri.
“Dalam kepimpinan PKR, bila saya bagi pandangan, ramai yang kepanasan.
"Setiausaha Agung, (Datuk Dr) Fuziah Salleh siap keluar memo lagi konon bila kami bangkit isu badan kehakiman, itu sama macam hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri,” katanya.
Rafizi mendakwa reaksi sama turut diterima daripada Pas apabila beliau menegur sikap parti itu berhubung isu pendirian yang dilihat berubah-ubah.
“Pas pula apabila saya usik pendirian mereka yang berubah-ubah pun pakat serang ramai-ramai,” katanya lagi.
Tambah beliau, kedua-dua parti itu mempunyai satu persamaan apabila berdepan teguran iaitu sering mempersoalkan mengapa teguran tidak dibuat semasa seseorang berada dalam kerajaan.
“Tapi dalam bab ini yang dalam PKR dan Pas sebenarnya ada satu persamaan. Mereka akan ungkit kenapa tidak membantah semasa kamu dalam kerajaan.
“Saya pasti pimpinan Pas ada jawapan yang sama dengan saya. Sebab mereka pernah berdepan dengan keadaan yang sama semasa dalam kerajaan dulu,” katanya.