SHAH ALAM - Kerajaan didesak supaya menginstitusikan mekanisme undi tidak percaya secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan seperti Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, gesaan itu turut meliputi keperluan mewujudkan prosedur khusus undi tidak percaya dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi memastikan proses tersebut dapat dijalankan secara berperlembagaan.
Menurutnya, Bersih mencadangkan agar semua ahli Dewan Rakyat diberikan hak untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri secara sah di sisi Perlembagaan.
"Bersih turut mengusulkan pelaksanaan mekanisme Undi Tidak Percaya Berkonstruktif sebagai langkah lebih bertanggungjawab dalam menilai keabsahan Perdana Menteri.
"Mekanisme itu dianggap sebagai jalan tengah kerana membenarkan ahli Parlimen menyatakan ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri tetapi tidak memberi ruang kepada manipulasi politik secara sewenang-wenangnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujar Bersih lagi, cadangan itu menetapkan bahawa mana-mana usul undi tidak percaya perlu disokong sekurang-kurangnya 26 ahli Dewan Rakyat serta menamakan calon alternatif Perdana Menteri.
"Sekiranya calon alternatif gagal mendapat sokongan majoriti mudah, Perdana Menteri sedia ada perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen.
"Isu kepercayaan terhadap Perdana Menteri yang turut mencerminkan keyakinan kepada kerajaan bukanlah perkara yang ringan dalam sesebuah demokrasi," katanya.
Menurut Bersih, demokrasi Malaysia perlu seimbang antara memberi hak kepada ahli Parlimen menyuarakan ketidakpercayaan dan keperluan Perdana Menteri membuktikan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan melalui kaedah tidak sah bertentangan dengan Perlembagaan.