IPOH - Kenyataan Pemuda Pas Perak yang mahu memulakan langkah 'Turun Saarani' secara terbuka dilihat cuba memecahbelahkan kestabilan politik negeri.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Muhammad Izzuddin Hariz Bohari, pihaknya memandang serius kenyataan tidak bertanggungjawab yang dilemparkan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tindakan Pemuda Pas menggerakkan Himpunan Turun Anwar dan kemudiannya menyasarkan pula Menteri Besar Perak membuktikan kegagalan mereka untuk membawa naratif alternatif yang matang, berasaskan fakta serta menjurus kepada penyelesaian isu rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menerusi akaun Facebook Pengarah Strategi Pemuda Pas Perak, Nurhafizul Badrul Hisham, pada Ahad, pihaknya akan sambung dengan langkah Turun Saarani selepas Himpunan Turun Anwar selesai Sabtu ini.
Muhammad Izzuddin Hariz berkata, Kerajaan Perpaduan telah memperlihatkan komitmen jelas dalam memperkukuh kedudukan Melayu dan Islam melalui pelbagai dasar dan inisiatif.
"Antara inisiatifnya adalah peruntukan tertinggi dalam sejarah kepada Mara sebanyak RM2.5 bilion, pelancaran Dana Wakaf Madani bernilai RM1 bilion untuk pembangunan institusi Islam dan pendidikan tahfiz, penambahan RM500 juta untuk sekolah agama dan pusat tahfiz, kenaikan bajet Jakim kepada RM1.5 bilion, serta bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 75 peratus penerima daripada kalangan Melayu B40.
"Kerajaan turut memperkasa usahawan Bumiputera melalui agensi seperti Tekun Nasional, Mara dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) membantu lebih 200,000 usahawan Melayu dan menghapuskan hutang lebih RM400 juta.
"Manakala pelaburan langsung asing pula mencatat rekod tertinggi sebanyak RM329.5 bilion pada tahun 2023, membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan negara sedang giat dipulihkan daripada kerosakan pasca Langkah Sheraton, adalah sangat tidak wajar untuk Pemuda Pas menjadikan Anwar sebagai kambing hitam atas segala permasalahan.
Tambahnya, kini sayap parti itu mengheret pula nama menteri besar dengan persepsi kononnya lebih pro-Anwar.
"Adakah ini caranya Pemuda Pas memperjuangkan Melayu dan Islam dengan menunggang kemarahan rakyat demi agenda politik jangka pendek, sambil meninggalkan adab dan fakta?
"Saya menegaskan bahawa Saarani telah menunjukkan prestasi pentadbiran yang konsisten, stabil dan berpaksikan penyelesaian untuk rakyat selaras dengan aspirasi kerajaan Madani di peringkat Persekutuan," katanya.
Muhammad Izzuddin Hariz berkata, cubaan menanam curiga terhadap Saarani hanya mendedahkan sifat terdesak mereka yang gagal menyesuaikan diri dalam landskap politik baharu yang mengutamakan muafakat dan bukannya kebencian.
"AMK Perak menolak sepenuhnya politik provokasi sempit yang dibawa oleh Pemuda PAS Perak dan meminta seluruh anak muda untuk bangkit mempertahankan kestabilan, kesatuan dan masa depan negara yang lebih baik.
"Kita tidak akan tunduk kepada ugutan jalanan, sebaliknya akan terus mendukung kepimpinan yang berfakta, berani dan berintegriti," katanya.