KOTA BHARU – Suasana kempen PRU14 kali ini tenang berbanding sebelum ini memandangkan semua pihak diberikan peluang berkempen yang panjang.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, persaingan juga dapat dilihat antara Pas dan BN dan walaupun semua parti telah mengumpulkan kekuatannya, sehingga kini Pakatan Harapan tetap dilihat bukan menjadi pilihan rakyat Kelantan.
“Saya nampak jentera mereka pun sangat terbatas, walaupun persaingan tiga penjuru, ternyata Pas cuba mempertahankan kedudukan mereka. Kita sebagai pembangkang di Kelantan menampakkan kekuatan dan komitmen kita.
“Tapi dalam suasana tidak dalam ketegangan, ini harus dikekalkan supaya rakyat Kelantan berfikir. Dalam suasana yang penuh keterbukaan ini, masing-masing telah mengemukakan manifesto, berilah peluang kepada rakyat Kelantan menilai berasaskan komitmen, janji dan track rekod,” katanya kepada media dalam satu majlis di sini hari ini.
Annuar berkata, ‘Team Tokpa’ yang diasaskan oleh Pengerusi Umno Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mempunyai komitmen yang mantap kepada rakyat dan pemimpin itu juga seorang yang boleh dan mampu bekerja untuk rakyat.
Selain itu katanya, Mustapa mendapat sokongan padu daripada jentera Kelantan, tidak sebagaimana dulu Umno Kelantan yang terkenal dengan budaya ‘cah keting’.
“Sekarang ini kita semua dalam satu kumpulan, ‘Team Tokpa’, kita restui Tokpa untuk kemudi negeri kerana Tokpa adalah pemimpin berpengalaman dalam kerajaan sama ada penjawat awam dan anggota Kabinet.
“Saya merasakan inilah masa yang terbaik untuk membawa Kelantan ke tahap yang lebih tinggi. Saya tak fikir rakyat Kelantan akan melepaskan peluang macam ini, ia tidak datang dua atau tiga kali. Siapa lagi yang boleh lakukan kalau bukan orang Kelantan itu sendiri dan anak perantauan,” katanya.