KOTA TINGGI - Calon baru BN Parlimen Kota Tinggi mahu mencipta sejarah baru pada PRU14.
Calon berkenaan yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ia berikutan sejarah yang telah dicipta BN kawasan berkenaan pada PRU13 selepas mendapat majoriti undi tertinggi dalam Johor.
"Kita harap dapat cipta satu lagi sejarah baru iaitu dari segi sokongan masyarakat dan rakyat di Parlimen Kota Tinggi yang juga mewakili dua-dua Dun Sedili dan Dun Johor Lama.
"Ini supaya kita dapat memperlihatkan sokongan sebulat suara untuk pengundi pilih calon-calon BN dan yakinkan rakyat untuk mengekalkan kesinambungan kerajaan persekutan dan negeri di mana hanya kerajaan BN sahaja yang dapat membangunkan kesejateraan rakyat serta majukan negara,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke pusat daerah mengundi (PDM) Felda Bukit Aping Barat bersama calon BN Dun Sedili, Rasman Ithnain dan calon BN Johor Lama, Rosleli Jahari.
Tambah Halimah, beliau tidak menjanjikan perkara luar biasa namun beliau bersama dua calon Dun berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
"Mudah-mudahan dengan penawaran diri dan cita-cita besar untuk bersama rakyat dan pengundi tanpa ada apa-apa manifesto kerana kita berpegang pada manifesto pusat dan BN Johor sahaja.
"Jadi bersandarkan manifesto ini kami akan laksakan tugas sebaik mungkin.
"Saya juga tiada masalah dipilih menjadi calon di parlimen ini kerana dua calon Dun ini sudah seperti adik-adik saya. Kami macam satu keluarga besar dan Insya-ALLAH apa jua perancangan kami akan berbincang bersama," katanya lagi.