SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa pimpinan perlu bersikap mendamaikan, bukan melaga-lagakan antara satu sama lain.
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan bahawa kepimpinan bukan milik individu atau kelompok tertentu, sebaliknya dimiliki secara bersama.
“Pemimpin lama, termasuk saya, tidak akan selama-lamanya di atas pentas ini. Kami (yang lama ini) akan sentiasa melatih dan memberi ruang kepada pemimpin muda untuk meneruskan perjuangan.
“Ingatlah, setiap yang memegang kuasa mesti berlaku adil dan ihsan kepada setiap ahli parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2025 Amanah yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, sikap adil dan ihsan perlu ditanam kerana ia menjadi nadi penting kepada parti yang dipimpinnya.
Tambahnya, Amanah juga sentiasa berusaha melahirkan pemimpin yang bukan sahaja berkualiti kepada parti, tetapi juga berwibawa untuk memimpin negara pada masa akan datang.
“Kita mahu melahirkan pemimpin yang rendah hati, tidak sombong dengan jawatan, sebaliknya sentiasa insaf akan amanah yang sedang dipikul,” katanya.