Muhyiddin vs Hamzah: Ulangan drama ‘Anwar–Tun M’ dalam Bersatu?

PENGUMUMAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa semua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bersetuju menghentikan kemelut dalaman seolah-olah meredakan suhu politik dalaman Bersatu buat seketika.

Namun, kenyataan susulan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu temu bual bersama BFM kembali mencetuskan tafsiran baharu berkaitan isu peralihan kepimpinan parti.

Menggunakan analogi larian berganti-ganti, Hamzah mengakui beliau hanya menunggu masa ‘baton’ Presiden diserahkan oleh Muhyiddin apabila tiba waktu yang ditentukan.

“Seperti larian 4 x 100 meter, mungkin saya adalah pelari kedua dan beliau adalah pelari pertama. Jadi, saya hanya menunggu.

“Apabila beliau dekat dengan saya dan menyerahkan baton itu, maka saya akan menerimanya asalkan tidak melepasi garisan,” katanya.

Kenyataan itu menimbulkan persoalan sama ada wujud perjanjian transisi kuasa antara Muhyiddin-Hamzah, khususnya selepas tersebar dakwaan mengenai Konsensus Gopeng 2023 yang dikatakan menjadi asas kepada pelan peralihan jawatan Presiden Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Difahamkan, naratif konsensus tersebut menjadi batu asas gerakan sebahagian pemimpin dan akar umbi yang bersekutu dengan kem Hamzah, termasuk dalam siri Jelajah Semarak Bersatu di seluruh negara untuk mengangkat Ahli Parlimen Larut itu sebagai peneraju baharu parti berkenaan.

Ini ditambah tindakan lebih 120 ketua bahagian parti itu didakwa menandatangani surat desakan pengunduran Muhyiddin, diikuti usul 16 ahli Parlimen menghantar sepucuk surat kepada Ahli Parlimen Pagoh itu bagi menyatakan kebimbangan terhadap kemelut dalaman.

Ahli MPT Bersatu, Dr Mohd Yadzril Yaakub berpandangan Konsensus Gopeng memang difahami sebagai sebahagian daripada succession plan sebelum pemilihan parti tahun lalu.

“Konsensus Gopeng itu sebenarnya sebahagian daripada succession plan.

“Ia bukan hanya untuk elakkan pertandingan, tetapi juga bagi meletakkan individu pada kedudukan yang diyakini layak meneruskan kepimpinan,” katanya.

Menurut beliau, persetujuan itu tidak didokumenkan tetapi difahami sebagai satu persetujuan politik secara lisan oleh kepimpinan tertinggi Bersatu.

“Tidak ada hitam putih. Ia adalah pemahaman dan perbincangan antara Presiden dan Timbalan Presiden serta beberapa pemimpin tertinggi parti lain.

“Takkan Muhyiddin saja-saja hendak letak nama Hamzah sebagai Timbalannya sekiranya beliau ada perancangan lantik Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) atau Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) sebagai pengganti,” tegasnya.

Bagaimanapun, naratif itu disanggah Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang menyifatkan Konsensus Gopeng tidak pernah membawa maksud penyerahan kuasa dalam tempoh tertentu.

“Tiada pengumuman dan perjanjian seperti itu.

“Setahu saya Konsensus Gopeng adalah mengenai kesepakatan ahli-ahli MPT memberi sepenuh kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk mencadangkan succession plan untuk pemilihan parti tahun 2024,” jelasnya.

**media[3333662]**

Mandat

Tun Faisal menegaskan bahawa keputusan ketika itu hanyalah memberi mandat kepada Muhyiddin untuk menyusun struktur kepimpinan bagi mengelakkan pertandingan jawatan tertinggi, bukan menentukan bila atau kepada siapa jawatan Presiden akan diserahkan.

Beliau menjelaskan bahawa cadangan struktur kepimpinan tersebut telah dibawa ke platform parti yang sah iaitu Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2024 sebelum dipersetujui.

“Tan Sri Muhyiddin kekal sebagai Presiden, (Datuk Seri Ahmad) Faizal Azumu berundur satu tapak dari Timbalan Presiden menjadi Naib Presiden, Datuk Seri Hamzah dinaikkan jawatan dua tapak iaitu dari Setiausaha Agung menjadi Timbalan Presiden, Datuk Dr Radzi (Jidin) dan Datuk Seri Ronald (Kiandee) dikekalkan sebagai Naib Presiden.

“Datuk Seri Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung. Itu adalah succession plannya. Ada perkara lain? Setahu saya tiada,” katanya.

Tun Faisal menambah bahawa perkara itu turut melibatkan keputusan strategik parti menghadapi pilihan raya.

“Diputuskan juga dalam PAT 2024 bahawa Tan Sri Muhyiddin akan mengetuai Bersatu memasuki PRU16.

“Apapun perlu diingatkan bahawa PAT adalah platform tertinggi parti dan keputusan yang dibuat semasa PAT mengatasi segala keputusan yang lain,” katanya.

Penegasan Tun Faisal turut disokong Ahmad Faizal yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perak.

“Saya sendiri tak tahu mengenai apa-apa perjanjian (jika ada) antara Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Hamzah. Soalan ini saya tidak boleh jawab.

“Yang jelas, Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden telah menyatakan dalam ucapan dasar bahawa beliau akan memimpin parti menghadapi PRU akan datang. Ucapan dasar ini telah diluluskan sebulat suara,” ujar beliau.

Hakikatnya, kemelut dalaman Bersatu berkaitan pelan peralihan kepimpinan parti antara Muhyiddin dan Hamzah kini mencetuskan perdebatan hangat umum.

Lebih menarik, ada pemerhati politik tempatan menyamakannya dengan kontroversi pelan peralihan jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0.

Ketika itu, janji menyerahkan kuasa tidak pernah dimuktamadkan dengan jelas, sekali gus mencetuskan ketegangan politik berpanjangan di antara kem Anwar yang disokong pemimpin PH serta Dr Mahathir yang mewakili Bersatu.

Pertentangan dalaman akhirnya memaksa Dr Mahathir meletakkan jawatan, sementara Anwar ketika itu tidak sempat menjadi Perdana Menteri seperti yang diharapkan para penyokong ketika itu.

Natijahnya, kerajaan PH tumbang sebelum cukup sepenggal dengan krisis politik negara terus berpanjangan selepas itu susulan tercetusnya peristiwa Langkah Sheraton serta keruntuhan kerajaan PN diterajui Muhyiddin pada tahun 2021.

Justeru, ramai pemerhati melihat episod hampir sama mula berulang dalam Bersatu. Perbezaannya, watak-watak utama yang terlibat dalam kemelut kerajaan PH 1.0 itu kini berada di dalam parti sama.

Persoalan yang timbul, adakah drama Muhyiddin-Hamzah bakal mengulangi karma kejatuhan kerajaan PH 1.0 dan akhirnya menjadi pemangkin keruntuhan Bersatu dan PN? Hanya masa menentukan.