Amanah lahir bukan untuk mengejar kuasa tapi bawa kembali roh Islam - Mat Sabu

SHAH ALAM - Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) kira-kira 10 tahun lalu bukan untuk mencari kedudukan atau mengejar kuasa, tetapi bagi membawa kembali roh Islam yang sebenar.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, roh Islam sebenar bermaksud yang membawa rahmat kepada semua manusia.

“Islam yang kita perjuangkan bukan Islam yang mengajar kebencian dan permusuhan, bukan Islam yang menanam fitnah dan caci maki, tetapi Islam yang membina yang menyatukan yang menegakkan keadilan dan kasih sayang antara manusia.

“Inilah roh perjuangan Amanah, Islam yang menebar rahmah, bukan marah-marah.

“Islam yang menjadi obor pencerahan, bukan alat untuk menakut-nakutkan rakyat,” ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2025 Amanah yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertanian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menegaskan, Islam di bawah Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga terus subur.

Ujarnya, ia dibuktikan apabila Islam terus menjadi dasar pentadbiran negara.

“Sebagai contoh, sebanyak RM150 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 untuk memperkasakan sekolah tahfiz dan institusi pondok.

“Perdana Menteri sendiri menjadi contoh kepimpinan berjiwa agama menghadiri kuliah, turun ke masjid dan menyantuni ulama pelbagai aliran,” katanya.