KOTA KINABALU - Kumpulan calon bebas yang menggelarkan diri sebagai ‘Gelombang Hitam’ mengumumkan penyertaan di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), dengan misi membawa pembaharuan politik dan menyuarakan kepentingan rakyat tanpa dikongkong mana-mana parti.
Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, yang mengetuai gerakan itu berkata, semua calon telah melengkapkan dokumen dan mendapat pengesahan rasmi daripada mahkamah, sebelum bergerak ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi urusan pembayaran wang pertaruhan serta proses penyerahan dokumen pencalonan.
"Hari ini kita telah mengadakan perjumpaan dan seramai 17 calon akan bertanding di 17 DUN. Calon-calon Gelombang Hitam ini kebanyakannya muka baharu.
"15 orang pertama kali bertanding, seorang calon masih menjawat jawatan Ahli Parlimen iaitu saya sendiri, dan seorang lagi pernah bertanding sebelum ini. Kebanyakan calon berusia bawah 50 tahun dan saya percaya ini satu pembaharuan dari segi tenaga serta kepimpinan baharu di Sabah," katanya dalam satu hantaran video di laman Facebook miliknya, pada Jumaat.
Verdon berkata, penyertaan Gelombang Hitam sebagai calon bebas akan mewujudkan satu dimensi baharu dalam politik Sabah yang lebih terbuka dan bebas daripada kawalan mana-mana pihak.
"Gerakan calon bebas itu bukan sekadar mahu bertanding, tetapi menjadi pemangkin kepada politik yang lebih matang, bersih dan benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat. Salah satu matlamat kami dalam gerakan Gelombang Hitam ini adalah untuk menyuburkan demokrasi di Malaysia, khususnya di Sabah.
"Walaupun kami bertanding sebagai calon bebas, penyertaan ini memberi satu dimensi baharu, bagaimana calon-calon bebas boleh bersatu tanpa kongkongan mana-mana pihak, demi kepentingan rakyat sebenar.
"Alhamdulillah, hari ini juga kita telah mengadakan sesi dialog dan taklimat bersama semua calon," katanya.
Sementara itu, Parti Maju Sabah (SAPP) turut mengumumkan enam calon yang akan bertanding pada PRN kali ini, termasuk tiga muka baharu yang disifatkan sebagai cerminan budaya disiplin dan organisasi yang baik dalam parti berkenaan.
Setiausaha Agung SAPP, Datuk Richard Yong We Kong, berkata, kesemua calon telah diluluskan secara sebulat suara oleh Majlis Tertinggi parti dan diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee.
"Enam calon tersebut ialah Ahli Majlis Tertinggi SAPP merangkap Naib Pengerusi Pemuda, Yong Yit Jee, 38, peguam (DUN Likas); Naib Presiden, Gee Tien Siong, 52, ahli perniagaan dan aktivis sosial (DUN Luyang); Timbalan Presiden, Datuk Edward Dagul, 59, ahli perniagaan (DUN Limbahau).
"Turut tersenarai ialah Timbalan Presiden merangkap Bendahari Agung, Datuk Japiril Suhaimi, 62, bekas Setiausaha Suhakam (DUN Kundasang); Naib Pengerusi CLC, Henley Liew Yun Ye, 57, pesara pengetua sekolah (DUN Tanjung Papat); serta Ketua Mudanita, Yvonne Yong Yit Phung, 40, ahli perniagaan dan aktivis sosial (DUN Segama),” katanya.
"Tiga daripadanya ialah muka baharu yang akan bertanding di DUN Likas, Tanjung Papat dan Segama," kanya.
Bagaimanapun Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri Sabah tidak mengambil bahagian dalam PRN kali ini.