KUALA NERUS - Pertubuhan Muafakat Terengganu Baharu (Muafakat) mencadangkan supaya sekretariat bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ditubuhkan di peringkat negeri bagi memperkukuh kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Muafakat, sekretariat itu perlu dibentuk dengan segera bagi menyelaras dasar, program dan aktiviti kedua-dua blok parti kerajaan perpaduan dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi, termasuk gerak kerja di Pusat Daerah Mengundi (PDM).
"Penubuhan sekretariat bersama PH-BN di peringkat negeri amat penting bagi memastikan segala dasar kerajaan pusat dapat diterjemah dan diselaras untuk manfaat rakyat Terengganu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Selain itu, pertubuhan itu turut mencadangkan supaya manifesto bersama PH-BN negeri Terengganu disiapkan lebih awal bagi memperincikan tawaran dan agenda yang lebih baik kepada rakyat berbanding pentadbiran kerajaan negeri sedia ada di bawah Perikatan Nasional (PN).
"Kita bersedia membantu menyiapkan manifesto berkenaan dan mencadangkan slogan bersama iaitu 'Harapan Rakyat, Masa Depan Terengganu' digunakan mulai sekarang," katanya.
Dalam masa sama, Muafakat berpandangan bahawa pentadbiran negeri perlu diterajui oleh kepimpinan yang mesra dan sehaluan dengan kerajaan pusat bagi memastikan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan serta kebajikan rakyat dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.
Pertubuhan itu turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan berjaya membawa kestabilan politik, memperkukuh pelaksanaan syariah Islam, meningkatkan tadbir urus kerajaan dan membanteras rasuah di peringkat nasional.
"Kepimpinan beliau wajar disokong kerana ketokohan beliau dihormati dan diterima oleh pemimpin-pemimpin negara serantau dan antarabangsa.
"Beliau berjaya membetulkan dan melaksanakan soal tatakelola pentadbiran yang baik dan membenteras pelakuan rasuah dalam negara.
"Beliau juga telah berjaya membawa pembangunan ekonomi untuk negara, dan berjaya mengurangkan beban kos sara hidup rakyat melalui pelbagai dasar yang diperkenalkan serta sentiasa cakna terhadap kebajikan kakitangan awam," jelas kenyataan tersebut.
Muafakat merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan sentiasa peka terhadap isu-isu semasa negara khususnya melibatkan politik, pentadbiran dan kebajikan.
Terdahulu, pertubuhan itu menghadiri Majlis Mesra Semeja bersama kepimpinan PH peringkat negeri yang diadakan pada Jumaat.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi PH Terengganu, Hasbie Muda; Pengerusi PKR negeri, Dr Zainuddin Awang; Penolong Setiausaha UMNO Terengganu, Bazlan Abd Rahman yang mewakili Datuk Rozi Mamat, serta Pengerusi Muafakat, Datuk Muhatar Abdullah yang juga mantan Setiausaha Kerajaan Terengganu.