SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof membidas tindak tanduk beberapa pemimpin parti itu yang meragui kebebasan Lembaga Disiplin parti tersebut.
Jelas beliau, dakwaan yang dibuat Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kononnya Lembaga Disiplin akan mengambil tindakan terhadap Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin adalah tidak berasas dan hanya dakwaan semata-mata.
“Lembaga Disiplin itu adalah satu badan berkecuali, bertindak mengikut aduan disiplin. Jika tidak ada aduan, maka tiada ada (tindakan).
“Bagaimanapun, individu yang membuat tuduhan itu sendiri mempunyai isu disiplin semasa pemilihan parti dan pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin sebanyak empat, kali namun enggan hadir,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Redzuan, Ahli Parlimen Machang terbabit juga membuat pelbagai tuduhan ketika pemilihan lepas, namun tidak mahu hadir apabila diminta maklumat oleh Lembaga Disiplin.
Katanya, Wan Ahmad Faysal dan beberapa individu terlibat kemudiannya turut dipanggil untuk siasatan selepas menerima aduan tentang kejadian berlaku ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini.
“Ketika dipanggil, dia datang tetapi tidak disiasat atas perkara berlaku di PAT itu. Jika dia terlibat dalam kejadian di PAT, saya rasa sudah pasti dia kena pecat,” ujar beliau.
Walaupun tidak dipecat, Mohd Redzuan melihat Wan Ahmad Fayhsal yang digantung keahlian Bersatu seolah-olah tidak memiliki penyesalan tentang apa yang berlaku.
Bagaimanapun, beliau juga memaklumkan tidak pasti ataupun mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai dakwaan dibuat Wan Ahmad Faysal dan tidak mahu mengeruhkan keadaan dalam parti.
Katanya, tindakan membuat tuduhan dan mencetuskan kekeliruan hanya akan menjejaskan imej parti, sebaliknya pemimpin perlu menunjukkan rasa tanggungjawab dan menjaga kredibiliti.
Beliau turut menegaskan bahawa semua ahli perlu menghormati hierarki kepimpinan tertinggi parti serta tidak melakukan tindakan yang boleh merosakkan imej Bersatu.
“Dalam hirearki, pimpinan tertinggi adalah PAT iaitu suara akar umbi, kemudian barulah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Jika mereka hormat PAT, mereka tidak akan buat perkara mengarut seperti ini,” ujarnya.
USUL
Ditanya kemungkinan mesyuarat agung luar biasa (EGM) mampu dilaksanakan bagi membawa usul tukar kepimpinan, Mohd Redzuan menjelaskan perkara itu boleh dilakukan jika mengikut peraturan dan perlembagaan parti.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, setiap tindakan mesti berpandukan peraturan parti supaya tidak timbul kekeliruan.
Menurut beliau, kekecohan yang berlaku hanyalah isu kecil dalam parti dan tidak akan menggugat kestabilan Bersatu.
Mohd Redzuan optimis bahawa Bersatu akan menjadi lebih kuat selepas proses penapisan dalaman parti.
“Apabila, kita sudah tapis individu merosakkan itu. Insya-ALLAH, kita dalam keadaan baik,” katanya.