SANDAKAN - Senarai calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dijangka diumumkan pada 9 atau 10 November ini, menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
Mustapha berkata, pengumuman rasmi akan dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu.
"(Perbincangan) kerusi dengan Barisan Nasional sudah dimuktamadkan, manakala dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tinggal satu kerusi lagi, tapi saya fikir akan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Harapan Urang Sabah Majlis Pimpinan Keadilan Sabah di sini malam Jumaat.
Mengenai tumpuan di Parlimen Sandakan, Mustapha berkata, PKR Sabah akan meletakkan calon bagi dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Gum Gum dan Karamunting
"Calon satu mewakili bumiputera Islam Sabah dan satu lagi mewakili kaum Tionghua. Hari ini kita hadir (jelajah) untuk memberi penjelasan kepada semua perkara yang sedang dilaksanakan Kerajaan Madani untuk Sabah.
"Kadang-kadang kita dipesongkan oleh prasangka-prasangka dan menerusi Jelajah Urang Sabah ini kita mewakili kerajaan Madani, parti, Pakatan Harapan dan beri penerangan kepada akar umbi tentang sumbangan kerajaan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan pada 15 November manakala pengundian awal pada 25 November. - Bernama