Rafizi bangkitkan perjanjian Kemboja-AS lebih baik berbanding Malaysia-AS

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli membangkitkan perjanjian Amerika Syarikat (AS) dengan Kemboja lebih baik berbanding Malaysia - AS.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, terdapat beberapa aspek dalam perjanjian Kemboja-AS yang memberi kelebihan jauh berbeza berbanding dengan negara ini, termasuk dari segi klausa tindakan timbal balik.

Ujarnya, dari segi klausa berkenaan, perjanjian Malaysia-AS menyatakan tindakan timbal balik itu perlu dilaksanakan demi faktor kepentingan ekonomi bersama atau keselamatan negara.

“Klausa tentang tindakan timbal balik itu bermaksud maksudnya apa (dasar) yang AS laksanakan, negara kita kena buat juga.

“Untuk perjanjian Kemboja-AS, ia (tindakan timbal balik) hanya menyatakan ‘for the purpose of economic security alignment’. Kemboja tidak ada ‘national security concern’,” katanya dalam siaran langsung audio siar Yang Berhenti Menteri di platform YouTube pada Sabtu.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump menandatangani ART serta perjanjian mineral kritikal bagi memperkukuh kerjasama ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Perjanjian ART Malaysia-AS menyaksikan kadar tarif purata diturunkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus, serta akses pasaran yang lebih meluas bagi eksport utama negara.

Menurut Rafizi, faktor keselamatan negara yang ditekankan dalam perjanjian perdagangan tersebut kebiasaannya hanya melibatkan negara tertentu seperti Arab, Iran dan negara asia lain.

Selain itu, beliau turut menekankan perjanjian dengan AS turut menyatakan klausa yang melindungi kedaulatan Kemboja tetapi tidak ada dalam perjanjian dengan Malaysia.

“(Perbezaan) yang paling besar ialah (klausa perjanjian) kita menyatakan ‘shared commitment to enhance bilateral relationship between AS and Malaysia’.

“Kemboja dengan jelas menyatakan bahawa apa-apa (dasar) yang dibuat tidak boleh melanggar kedaulatan Kemboja. (Negara kita) Tidak ada.

“Dari segi mempertahankan kedaulatan, memang kita kalah dengan Kemboja, kenapa kita tidak runding supaya (dapat) pendekatan yang sama seperti Kemboja,” ujarnya.