KOTA BHARU – Pas menaruh kepercayaan kepada Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang akan berlangsung pada 29 November ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, keyakinan itu berpandukan kepada pengalaman Annuar yang pernah menjadi Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Sabah sebelum ini.
"Annuar juga mempunyai rangkaian serta maklumat tentang geopolitik di sana (Sabah). Beliau lebih tahu serta mempunyai banyak maklumat berbanding kita.
"Jadi, kita harap dengan pengalaman tersebut, beliau dapat membantu parti merangka strategi serta gerak kerja bagi memenangi kerusi di sana," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui selepas Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam di Pengkalan Chepa, di sini pada malam Sabtu.
Menurut beliau, Pas mengambil keputusan untuk tidak melantik tokoh tempatan sebagai Pengarah Pilihan Raya Sabah bagi mengelakkan bebanan tugas.
Ujarnya, hal ini kerana tokoh-tokoh tempatan itu berkemungkinan besar akan diberi mandat untuk mewakili Pas pada PRN nanti.
"Kalau kita lantik (mereka) jadi Pengarah Pilihan Raya, akan jadi kelam-kabut. Hal ini kerana di Sabah, kita (Pas) ada calon yang bagus dan berpotensi," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk bertanding di 36 daripada 73 kerusi pada PRN17 Sabah nanti.
Menurut Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, jumlah tersebut menunjukkan hasrat gabungan itu untuk mentadbir negeri berkenaan.