KOTA BHARU – Pas menyasarkan untuk bertanding 12 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang akan berlangsung pada 29 November ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, rundingan antara Pas dan Bersatu masih berjalan bagi memuktamadkan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.
Menurut beliau, keputusan rasmi dijangka diumumkan dalam tempoh dua minggu sebelum hari penamaan calon.
“Kita sedang berbincang dengan Bersatu. Belum diputuskan lagi, tetapi dalam masa terdekat, mungkin dua minggu sebelum penamaan calon, kita akan umum kerusi dan calon sekali.
“Antara kerusi yang menjadi sasaran Pas ialah Karambunai, Sungai Sibuga dan Tanjung Keramat. Buat masa ini, senarai calon belum ditentukan kerana kita perlu tetapkan kerusi terlebih dahulu,” katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui selepas Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam di Pengkalan Chepa, di sini pada malam Sabtu.
Mohd Amar memberitahu, walaupun Pas hanya menyasarkan untuk menang satu kerusi di negeri berkenaan, perkembangan semasa memberi keyakinan bahawa potensi kemenangan parti itu kini semakin cerah.
Ujarnya, ia berdasarkan maklum balas yang diterima, di mana keadaan semasa agak positif kepada Pas.
"Terutama apabila melibatkan isu-isu semasa seperti kes Zara Qairina serta rasuah melibatkan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan BN (Barisan Nasional), yang memberi kesan besar terutama dalam kalangan pengundi muda.
“Pengundi lama mungkin tidak terkesan, tetapi pengundi muda di Sabah kini semakin ramai dan mereka inilah yang akan membuat perubahan,” katanya.