SHAH ALAM - ASEAN didesak menolak sepenuhnya pilihan raya yang dirancang Myanmar dan merombak strategi baharu di negara itu, selepas junta tentera meningkatkan keganasan ke atas orang awam menjelang pilihan raya dijadualkan berlangsung Disember ini.
Desakan tersebut dibuat oleh Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan tiga bekas pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar yang merupakan ahli pengasas Majlis Penasihat Khas untuk Myanmar.
Menurut mereka, pilihan raya yang dijadualkan bermula 28 Disember itu sebagai 'rekaan palsu' yang gagal memenuhi piawaian kebebasan, ketelusan dan kredibiliti, sekali gus melanggar prinsip minimum yang telah digariskan oleh Malaysia menerusi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
"ASEAN mempunyai satu peluang terakhir untuk bertindak melalui sidang Kemuncak Asean ke-47 bulan ini untuk dengan jelas menentang pilihan raya palsu junta, tidak akan terlibat dalam apa jua bentuk dan akan menolak keputusannya.
"Kegagalan menolak pilihan raya itu akan dianggap pengkhianatan terhadap rakyat Myanmar dan ganjaran berbahaya kepada autoritarianisme ganas,” menurut kenyataan bersama yang turut ditandatangani Marzuki Darusman, Yanghee Lee dan Chris Sidoti, pada Selasa.
Tambah mereka, pilihan raya nasional yang tulen dan berwibawa hanya boleh diadakan di Myanmar apabila satu perjanjian damai yang sahih dan inklusif dicapai, semua pertempuran dihentikan, semua tahanan politik dibebaskan, semua parti politik yang sah dibenarkan bertanding, serta pemerhati pilihan raya antarabangsa yang bebas dibenarkan masuk.
Justeru mereka berkata, ASEAN mesti memperketatkan tekanan terhadap junta.
"ASEAN perlu memperluas larangan penyertaan pemimpin junta dalam mesyuarat peringkat tinggi kepada semua wakil junta di setiap peringkat penglibatan ASEAN.
"Langkah ini perlu menjadi permulaan kepada siri tindakan hukuman berperingkat yang mesti diambil ASEAN sebagai tindak balas terhadap sikap keras kepala junta yang berterusan," katanya.
Mereka turut mengecam 'kempen propaganda' junta untuk mencipta legitimasi palsu mendakwa Mohamad bersetuju menghantar pemerhati pilihan raya Malaysia.
"Selepas lebih empat tahun berlembek, berdolak-dalik dan cuba sia-sia untuk menghidupkan semula Konsensus Lima Perkara (5PC) yang gagal sejak awal, ASEAN mesti mengakui bahawa ia telah gagal sepenuhnya terhadap rakyat Myanmar. ASEAN telah diperdaya, dipintas, dan dipermalukan oleh junta pada setiap langkah.
"Namun, kegagalan sebenar ASEAN membawa akibat yang nyata — ia telah membiarkan ribuan orang awam dibunuh, menyerahkan inisiatif politik kepada kuasa luar bloknya, membolehkan jenayah rentas sempadan berleluasa, dan memberi lampu hijau kepada kudeta masa depan dalam kalangan negara anggotanya," katanya.
10 Oktober lalu, kerajaan Myanmar berkata, Malaysia memberi jaminan bahawa ASEAN akan menyokong dan menghantar pasukan pemerhati pilihan raya bagi pemilihan yang dijadual pada 28 Disember tahun ini.
Akhbar milik kerajaan, The Global New Light of Myanmar melaporkan, Mohamad yang sedang dalam lawatan telah menyampaikan komitmen kerjasama ASEAN terhadap pilihan raya tersebut.