JOHOR BAHRU – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengingatkan ahli parti supaya kekal tenang susulan pemecatan beberapa pemimpin dan ahli termasuk seorang dari Pengerang.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, setiap ahli perlu menunjukkan kesetiaan kepada kepimpinan serta perlembagaan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Tegas beliau, ahli parti perlu mengutamakan perpaduan dan disiplin organisasi bagi memastikan kesiapsiagaan jentera menghadapi PRN tidak terjejas akibat pergolakan dalaman.
“Ahli parti kena taat dan setia kepada pemimpin serta taat kepada perlembagaan parti.
“Bertenang kerana kita kena kerja keras untuk menghadapi PRN Johor yang tak lama lagi,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Selasa, Bersatu dilaporkan telah memecat keahlian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.
Dalam tindakan berasingan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Menurut kenyataan rasmi Lembaga Disiplin Bersatu pada Selasa, keputusan itu dibuat selepas menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap beberapa individu yang didakwa melanggar peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli.
Sesi pendengaran telah diadakan pada 8 Oktober 2025 dan tindakan disiplin diambil berdasarkan siasatan menyeluruh serta selaras dengan Fasal 9.1.4 dan Kod Etika serta Tatakelakuan Ahli.
Selain Wan Saiful, empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi.
Lembaga Disiplin menegaskan bahawa semua keputusan dibuat secara bebas, telus dan adil tanpa campur tangan pihak luar.
Ahli yang dikenakan tindakan berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari.