IPOH - Keputusan Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil tindakan memecat keahlian beberapa pemimpin akar umbi susulan kritikan terhadap pimpinan tertentu parti itu sudah dijangka.
Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur, Mohd Fadhli Ismail berkata, perkara itu dapat dirasai ketika dipanggil memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu pada 8 Oktober lalu.
Menurutnya, beberapa persoalan juga telah dibangkitkan semasa sesi bersama jawatankuasa berkenaan termasuklah kedudukan Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan.
"Waktu pergi ke lembaga disiplin kita tahu keputusan pemecatan itu sudah ada. Sesi itu cuma berlangsung dalam lima minit sahaja dan saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat pengadu ke lembaga disiplin parti.
"Semalam (Isnin), saya terima surat mengatakan saya dipecat daripada Bersatu. Tapi saya tak jangka dalam tempoh lima hari keputusan terus diumumkan tanpa dibawa ke Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Fadhli berkata, rayuan akan dikemukakan dalam tempoh 14 hari seperti diminta di dalam surat serta kenyataan media terhadap keputusan berkenaan.
Menurutnya, sementara menunggu proses selanjutnya, tugas sebagai ketua bahagian diserahkan sementara kepada Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur.
"Saya sudah pun memberikan taklimat kepada jawatankuasa Bersatu Bahagian Ipoh segala risiko yang berlaku dan mereka pun dah tahu.
"Gerak kerja parti di peringkat bahagian tidak akan terjejas dan boleh berjalan seperti biasa di sebalik tindakan pemecatan ini," katanya.
Terdahulu media melaporkan Mohd Fadhli antara enam pemimpin Bersatu yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti tersebut susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.
Bersatu turut memecat keahlian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan bersama tiga lagi pemimpin mereka iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar dan Mohd Isa Mohd Saidi.
Dalam tindakan berasingan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Menurut kenyataan rasmi Lembaga Disiplin Bersatu pada Selasa, keputusan itu dibuat selepas menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap beberapa individu yang didakwa melanggar peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli.