KOTA BHARU - “Beliau hanya digantung, bukan dipecat dan masih boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.”
Demikian penjelasan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berhubung tindakan penggantungan keahlian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh satu penggal pemilihan parti yang berkuat kuasa mulai Isnin.
Bagaimanapun, beliau berkata, Bersatu Kelantan menghormati keputusan parti berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu wajar diterima kerana Lembaga Disiplin merupakan badan bebas yang berperanan seperti sebuah ‘mahkamah’ dalam parti.
“Lembaga Disiplin sudah buat keputusan, jadi kita kena terimalah keputusan itu,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut beliau, Wan Ahmad Fayhsal bagaimanapun masih boleh berkhidmat seperti biasa sebagai Ahli Parlimen.
Kamarudin berkata, Ahli Parlimen Machang itu juga mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada parti berhubung penggantungan tersebut.
“Semua itu terserah kepada Wan Ahmad Fayhsal sama ada mahu berbuat demikian atau sebaliknya,” katanya.