JOHOR BAHRU – Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menegaskan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin parti serta Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kepimpinan Muhyiddin yang berwibawa dan berpandangan jauh diyakini mampu mengemudi parti menghadapi cabaran semasa.
“Bersatu Johor berdiri teguh menyatakan sokongan penuh kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin parti serta PN. Kami yakin beliau mampu menyelesaikan polemik yang berlaku dalam parti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, isu membabitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan wajar ditangani segera oleh Lembaga Disiplin parti.
ADUN Bukit Kepong itu menegaskan Bersatu sebagai organisasi politik yang berteraskan prinsip ketertiban dan tataetika tidak boleh memandang ringan sebarang pelanggaran disiplin atau tindakan yang menjejaskan imej parti.
“Lembaga Disiplin hendaklah mengambil langkah sewajarnya tanpa lengah agar keyakinan ahli dan rakyat terhadap ketegasan serta kewibawaan parti terus terpelihara,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Sahruddin turut menegaskan permasalahan dalaman parti perlu diselesaikan melalui mesyuarat serta saluran rasmi, bukan secara terbuka di media.
“Bawa isu dalaman secara terbuka hanya akan mengeruhkan keadaan, melemahkan perpaduan, serta membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pimpinan dan ahli di setiap peringkat agar kekal fokus kepada perjuangan parti, memelihara kesatuan serta tidak terjebak dengan tindakan yang boleh melemahkan parti.
Sebelum itu pada Isnin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, akuan bersumpah (SD) yang dikumpulkan membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan untuk mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden.
Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, dokumen berkenaan hanya untuk menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin menyusun pelan peralihan parti.
Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.
Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.