PN tidak ketandusan calon Perdana Menteri - Ahmad Faizal

PETALING JAYA - Perikatan Nasional (PN) tidak berdepan masalah dalam soal calon Perdana Menteri meskipun terdapat pandangan kononnya gabungan itu terlalu bergantung kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, PN mengamalkan budaya sihat apabila setiap parti komponen bebas mengemukakan pandangan sebelum dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.

“Setiap parti mengusulkan perkara secara terbuka dan dibawa ke dalam perbincangan. Di situ kita akan buat keputusan dan apabila keputusan sudah dibuat, semua pihak akan mendukungnya. Jadi saya fikir tidak ada masalah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran awal (soft launch) buku bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar bertajuk ‘Tg. Karang ke Putrajaya – Meniti Gelora Politik’ di Original Penang Kayu Nasi Kandar, Kota Damansara, malam Khamis.

Majlis pelancaran buku yang mengandungi 19 bab itu menceritakan jawatan yang pernah disandang Noh termasuk dasar baharu yang pernah beliau laksanakan, disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PN Perak menegaskan Bersatu mempunyai ramai calon berwibawa yang layak diketengahkan selain keputusan rasmi parti yang ditetapkan melalui perhimpunan agung tahunan.

“Saya amat yakin dalam kalangan Bersatu, ada ramai calon yang berwibawa. Perhimpunan agung tahunan kami (Bersatu) sudah membuat ketetapan melalui usul yang diluluskan sebulat suara.

“Dalam Muktamar Pas pula, ada beberapa usul dan pandangan yang mungkin berbeza dengan keputusan kami. Namun, ia satu perkara yang menarik dan baik untuk PN kerana kita tidak ketandusan pemimpin.

“Akhirnya, apabila kita berjaya mendapatkan kerusi yang mencukupi, tidak ada masalah untuk memilih seorang pemimpin,” tambahnya.