'Tindakan umum Muhyiddin calon PM petanda PN berdepan krisis' - Penganalisis

ALOR SETAR – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri mencetuskan ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN) sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan koalisi itu.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, langkah tersebut bukan sekadar pengumuman sebaliknya memberi tekanan psikologi terhadap rakan kongsi dalam PN.

Menurutnya, ia memperlihatkan cubaan Bersatu ‘mengunci’ kedudukan mereka sebelum rundingan sebenar bermula.

“Reaksi pemimpin Pas yang enggan memberikan sokongan eksplisit menunjukkan parti itu mahu mengekalkan ruang tawar-menawar.

“Tindakan Muhyiddin mendahului keputusan kolektif PN mencerminkan kelemahan mekanisme dalaman koalisi, apatah lagi tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) belum diumumkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, kritikan pedas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Bersatu pada Muktamar Pas ke-71 jelas menggambarkan ketidakpuasan struktural dalam PN.

“Sanusi bukan hanya bersuara untuk Pas tetapi juga mewakili parti-parti lain yang merasakan dipinggirkan dalam proses membuat keputusan.

“Beliau seolah-olah sedang memperjuangkan kedudukan Pas sebagai pemain utama dalam koalisi,” ujarnya.

Menurut sumber dalaman PN, kritikan Sanusi mencerminkan kekecewaan Pas terhadap pembahagian sumber dan kedudukan dalam hierarki koalisi.

“Respons defensif Bersatu terhadap kritikan itu menunjukkan mereka sedar akan kepentingan strategik Pas sebagai parti tunjang PN. Kehilangan sokongan Pas boleh menjejaskan survival politik Bersatu,” katanya.

Tambah beliau, konflik itu juga menggambarkan pertembungan antara gaya kepimpinan tradisional Pas dengan pendekatan moden Bersatu.

“Sanusi terkenal dengan retorik lantang dan pendekatan populis berhadapan dengan budaya korporat Bersatu yang lebih terkawal,” jelasnya.

Mengulas mengenai pemilihan Pas, Ahmad Zaharuddin Sani berkata, kemenangan muka baharu termasuk bekas tokoh UMNO seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Haim Hilman Abdullah menunjukkan perubahan landskap dalaman parti itu.

“Fenomena tersebut membawa kepakaran baharu dalam Pas tetapi turut menimbulkan risiko ‘pencemaran’ ideologi serta penghakisan DNA asal parti.

“Ia menunjukkan perubahan demografi ahli Pas, yang dahulunya didominasi ulama dan aktivis, kini menerima ahli politik profesional serta bekas pentadbir,” katanya.

Menurut Ahmad Zaharuddin Sani lagi, dominasi kepimpinan dari Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4) memperlihatkan Pas masih beroperasi dengan mentaliti wilayah, menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan untuk menjadi parti nasional.

“Pengabaian terhadap negeri-negeri seperti Selangor, Perak, Johor dan Melaka dalam barisan kepimpinan tertinggi seolah-olah menunjukkan mereka melihat negeri-negeri tersebut sebagai medan ujian, bukan asas kekuatan jangka panjang.

“Ia mungkin mengehadkan kemampuan Pas untuk menembusi kawasan bandar dan negeri yang lebih kosmopolitan,” katanya.

Dari aspek kewangan, tegas beliau, Pas lebih stabil dengan sistem sumbangan ahli berbanding Bersatu yang bergantung kepada derma korporat dan sedang berdepan isu akaun dibekukan.

“Ketidakseimbangan kewangan ini menjadikan Pas mempunyai leverage lebih besar untuk bertahan dalam konflik dalaman berbanding Bersatu.

“Menurut sumber dalaman, isu pembiayaan kempen menjadi punca ketegangan, manakala pembahagian kos kempen dan akses kepada dana korporat masih belum diselesaikan secara sistematik,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, pertembungan naratif di media sosial antara Pas dan Bersatu juga ketara, dengan Pas menekankan sentimen agama serta Melayu-Islam, manakala Bersatu menumpu kepada kritikan terhadap dasar kerajaan PH.

“Ia bukan sahaja menjadi tatapan umum di media sosial, malah berisiko menjejaskan daya tarikan PN kepada pengundi muda yang lebih mengutamakan isu pragmatik daripada perebutan kuasa dalaman.

“Konflik dalaman PN dilihat seolah-olah berebut kuasa, sedangkan ia tidak sealiran dengan pengundi muda yang mahu melihat kerjasama dan penyelesaian konstruktif kepada masalah negara,” ujarnya.