Noh Omar lancar buku sulung, dedah ‘Untold Story’ politik, kontroversi

PETALING JAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan program soft launch buku tulisan Tan Sri Noh Omar bertajuk “Tg. Karang ke Putrajaya – Meniti Gelora Politik” di Kota Damansara hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Noh berkata, buku pertamanya itu diterbitkan atas cadangan bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau kerana terdapat banyak sejarah dan kisah penting yang tidak diketahui umum.

“Buku ini mengandungi 19 bab, setiap satunya menceritakan jawatan yang pernah saya sandang termasuk dasar baharu yang pernah saya laksanakan.

“Terdapat juga dua bab khas yang menyingkap Untold Story mengenai apa yang berlaku dalam UMNO, pertukaran kerajaan dan bagaimana saya diminta dipecat,” ujarnya.

**media[3278162]**

Beliau berkata, selain kisah politik, buku itu turut mengangkat isu kementerian yang pernah dipimpinnya termasuk perjuangan membolehkan polis wanita memakai tudung serta usaha menyelesaikan masalah buli pelajar.

“Buku ini juga menjelaskan beberapa isu kontroversi yang pernah dikaitkan dengan saya, termasuk dakwaan kononnya saya ditahan di sebuah hotel bersama aktiviti karaoke, yang sebenarnya tidak benar,” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau bimbang berdepan tindakan undang-undang susulan pendedahan dalam buku berkenaan, Noh menegaskan bahawa semua yang ditulis adalah berasaskan pengalaman sebenar.

“Saya tidak mereka-reka cerita. Semua yang ditulis itu adalah perkara yang benar-benar berlaku kerana saya sendiri terlibat,” tambahnya.