Hadi Awang, Tuan Ibrahim pertahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat pada Khamis mengumumkan senarai calon yang layak bertanding bagi pemilihan jawatan parti untuk sesi 2025/2027 dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden kekal tanpa pertandingan.

Tan Sri Abdul Hadi Awang diumumkan sebagai calon tunggal jawatan Presiden, manakala Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kekal sebagai calon tunggal jawatan Timbalan Presiden.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud dalam kenyataan berkata, senarai berkenaan melibatkan jawatan di peringkat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda serta Dewan Muslimat.

Jawatan Naib Presiden pula menyaksikan empat calon dengan tiga daripadanya merupakan penyandang iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Abdullah, dengan penambahan calon iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Bagi jawatan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, dua calon disahkan bertanding iaitu Datuk Ahmad Yahaya dan Datuk Mohd Nor Hamzah.

Sementara itu, bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, dua calon bakal berentap iaitu penyandang, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Mohamed Sukri Omar.

Jawatan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat kekal tanpa pertandingan apabila penyandangnya, Nuridah Mohd Salleh diumumkan sebagai calon tunggal.

Dalam pada itu, bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, seramai 38 calon bakal bertanding termasuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Shahidan Kassim, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahmad Fadhli Shaari.