SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak cuba mengalihkan fokus daripada isu tuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, Muhyiddin sudah pun menafikan dakwaan kononnya menyokong warga asing mendapat manfaat penyelarasan subsidi, malah bersedia memaafkan jika Anwar memohon maaf.
“Tapi jawapannya lain. Cuba hendak bawa isu lain dengan katanya Tan Sri Muhyiddin juga perlu minta maaf kerana banyak membuat tuduhan serta fitnah terhadap beliau.
“Jangan hendak kalih tiang gol pula,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Idris berkata, kenyataan Perdana Menteri pada sesi Parlimen 5 Ogos lalu adalah tidak wajar kerana membabitkan tuduhan berat terhadap Muhyiddin.
Katanya, ucapan itu perlu difahami sebagai kenyataan rasmi dalam dewan yang mulia, bukannya seperti ceramah politik di Cherok Tok Kun.
Beliau juga menegur sikap Anwar yang menyindir Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, kerana didakwa tidak membaca kenyataan Muhyiddin sedangkan isu yang dibangkitkan adalah mengenai bebanan kerajaan terhadap warga asing.
Menurut Idris, kenyataan yang dibuat di Parlimen jika tidak benar boleh dianggap menyalahi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 36(12).
“Mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu,” jelasnya.
Beliau menegaskan isu itu sepatutnya dijawab secara jelas tanpa menimbulkan kekeliruan.
“Biarlah rakyat yang cerdik akan menilai. Jika dalam Parlimen pun boleh bercakap demikian, kalau di luar dewan wallahu’alam,” katanya.