KUALA LUMPUR – Veteran UMNO Malaysia menegaskan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membangkitkan isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik tidak ada kaitan dengan politik seperti yang didakwa DAP.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mendakwa Muhamad Akmal cuba menangguk di air keruh adalah tidak benar kerana isu tersebut jelas melibatkan penghinaan terhadap bendera negara.
“Jalur Gemilang itu dipasang terbalik dengan sengaja. Buktinya ia dikibarkan dan dirakam gambar sebelum diedarkan. Jika tidak disengajakan, untuk apa pula mereka mengambil gambar dan menyebarkannya? Ini menunjukkan kedua-dua pelaku itu sedar perbuatan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, Veteran UMNO hairan mengapa DAP begitu bersungguh-sungguh membela individu terlibat dalam isu berkenaan sehingga menimbulkan persoalan sama ada mereka mempunyai kaitan dengan parti berkenaan.
“Persoalannya, adakah pelaku itu ahli atau kader DAP? Atau adakah perbuatan ini dirancang oleh DAP sendiri? Dalam hal ini, sebenarnya DAP yang mempolitikkan isu Jalur Gemilang terbalik itu, bukannya Muhamad Akmal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mustapha turut melahirkan rasa kesal kerana masih wujud pihak yang cuba mencabar kerajaan dengan memperlekehkan isu berkaitan 3R (agama, raja dan kaum).
Katanya, kelemahan tindakan tegas kerajaan dalam isu tersebut menyebabkan ada pihak berani membuat kesalahan, memohon maaf, kemudian dilepaskan tanpa tindakan lanjut.
“Jika kerajaan tidak bertegas dalam isu 3R, Veteran bimbang bukan sahaja Jalur Gemilang akan dipersendakan, tetapi agama dan institusi raja juga akan diperlekehkan,” katanya.
Terdahulu, Muhamad Akmal bersama Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang mengadakan satu himpunan berhubung isu bendera terbalik baru-baru ini.
Sebelum ini, media melaporkan permohonan maaf pemilik premis perkakasan yang mengakui kesilapannya sehingga mencetuskan rasa kurang senang masyarakat di seluruh negara.
Ia selepas beberapa platform media sosial menyiarkan rakaman berdurasi 21 saat memaparkan tindakan pemilik kedai berusia 59 tahun itu mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang besi sebelum seorang pekerjanya merakam aksi berkenaan.
Perbuatan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mahu tindakan diambil susulan kejadian seumpama itu dilihat semakin menjadi-jadi, terutama ketika negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-68.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.