JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO menegaskan sebarang tindakan undang-undang terhadap ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh, mesti dilaksanakan secara adil, telus dan bebas daripada tekanan politik.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Md Shah berkata, pihaknya mahu proses perundangan berjalan tanpa campur tangan mana-mana pihak berkepentingan.
Menurutnya, keadilan yang berat sebelah hanya akan menimbulkan persepsi bahawa suara anak muda sedang cuba disekat.
“Pemuda UMNO amat kesal dan memandang serius siasatan dan gesaan pendakwaan terhadap Dr Muhamad Akmal Salleh.
“Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan asas demokrasi negara.
“Kami memahami ia mesti diamalkan dengan penuh tanggungjawab berlandaskan prinsip Rukun Negara, khususnya Kesopanan dan Kesusilaan serta Kedaulatan Undang-Undang.
“Pemuda UMNO percaya bahawa dalam ketegasannya, Dr Muhamad Akmal tidak pernah berniat menghasut, sebaliknya ikhlas berpegang pada prinsip mempertahankan kedaulatan dan simbol negara,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Hairi yang juga Exco Belia dan Sukan Johor berkata, biarlah mahkamah menentukan keadilan tanpa sebarang tekanan politik atau persepsi jalanan.
“Pemuda UMNO akan terus berdiri teguh bersama Dr Muhamad Akmal dan yakin beliau akan melalui proses ini dengan tabah,” katanya.
Muhamad Akmal mengesahkan beliau akan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat ini.
Minggu lalu, Muhamad Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, Bersatu dan Pas mengadakan satu himpunan berhubung isu bendera terbalik di Pulau Pinang.
Susulan itu, DAP mengarahkan sayap pemudanya, DAPSY di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan pemimpin muda UMNO tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan permohonan maaf daripada pemilik premis perkakasan yang mengakui kesilapannya sehingga mencetuskan rasa kurang senang masyarakat di seluruh negara.
Insiden itu berlaku selepas beberapa platform media sosial menyiarkan rakaman berdurasi 21 saat yang memaparkan tindakan pemilik kedai berusia 59 tahun mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang besi sebelum seorang pekerjanya merakam aksi berkenaan.
Perbuatan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mahu tindakan tegas diambil, susulan kejadian seumpama itu dilihat semakin menjadi-jadi terutama ketika negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-68.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.