ALOR SETAR – Kedah hanya akan melaksanakan sebarang bentuk kerjasama dengan MIC selepas perkara itu dibincangkan dan diputuskan di peringkat kepimpinan pusat Perikatan Nasional (PN).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang perjumpaan atau perbincangan yang berlaku di peringkat negeri hanyalah secara tidak rasmi dan lebih kepada hubungan persahabatan antara pemimpin.
“Kalau ada jumpa pun secara tak rasmi, setakat kawan-kawan di kedai kopi dan mereka ada hantar kek hari jadi kepada saya.
“Keputusan rasmi berhubung perkara itu perlu dibawa ke peringkat PN pusat, bukan negeri. Bila pusat sudah buat keputusan, barulah kita ikut,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan, pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan MIC Kedah meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN, namun keputusan muktamad masih tertakluk kepada pertimbangan kepimpinan pusat parti itu.
Pengerusi MIC Kedah, S. K. Suresh menegaskan, keutamaan parti adalah memperjuangkan masa depan masyarakat India dan memastikan suara komuniti itu terus didengar dalam arus politik negara.
Suresh juga menegaskan parti itu tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada mana-mana pihak untuk menentukan masa depan politik mereka, termasuk keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, hubungan kerajaan negeri dengan MIC Kedah berjalan baik tanpa sebarang perselisihan dan terbuka untuk menjalin persahabatan dengan mana-mana pihak.
“Mungkin (persahabatan) itu dimulakan di Kedah kerana di sini paling selesa, aman dan paling baik.
“Kita tak gaduh dengan siapa-siapa, kita baik saja, marilah siapa pun nak berkawan. Kalau kita berkawan, kita berkawan sungguh-sungguh,” ujarnya.
Tambah beliau, isu parti perlu dibincangkan antara Pas, Bersatu dan Gerakan di bawah PN, bukan di peringkat kerajaan negeri kerana kerajaan dan parti adalah dua entiti berbeza.
Mengulas sama ada isu berkenaan akan dibawa dalam muktamar Pas akan datang, Muhammad Sanusi berkata perkara itu terpulang kepada pucuk pimpinan parti.
“Saya pun tidak tahu (kepimpinan) nak bawa atau tidak dalam agenda muktamar. Saya harap ada lah. Kalau tidak ada pun tak apa. Di peringkat kerajaan, kita tunggu apa akan berlaku,” katanya.
Tegas Pengerusi PN Kedah itu lagi, PN sedia bekerjasama dengan MIC berdasarkan situasi negara yang dilihat semakin teruk di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Kerjasama perlu diperkukuhkan lagi untuk menyelamatkan Malaysia. Kita tak pernah hadapi situasi seperti ini sejak dahulu,” katanya.