Pemuda UMNO Terengganu yakin Akmal Saleh tidak bersalah

KUALA TERENGGANU – Pemuda UMNO Terengganu menzahirkan solidariti penuh terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang bakal dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat ini berhubung pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Ketua Pemudanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, pihaknya yakin pertuduhan tersebut berkait rapat dengan isu yang diperjuangkan oleh Muhamad Akmal mengenai insiden Jalur Gemilang diterbalikkan, yang turut mendapat perhatian dan sokongan pelbagai lapisan masyarakat.

"Kita yakin bahawa Datuk Dr Muhamad Akmal tidak bersalah dan perkara itu akan dibuktikan di mahkamah kelak.

"Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah suara anak muda dan kami akan terus berdiri teguh di belakang beliau serta memberikan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi sepanjang proses perbicaraan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, Pemuda UMNO Terengganu juga menggesa semua ahli dan penyokong bertenang serta menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

"Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan sentiasa bersolidariti bersama YB Datuk Dr Muhamad Akmal," katanya.

Muhamad Akmal mengesahkan beliau akan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat ini.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan membuat, menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan serta kegusaran awam.

Sebelum ini, beliau mengetuai 500 penyokong UMNO, Bersatu dan Pas dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer di Bertam, Kepala Batas sebagai tanda menghormati Jalur Gemilang susulan insiden bendera negara dipamerkan secara terbalik di sebuah kedai perkakasan.

Susulan itu, beliau telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Sabtu lalu berhubung perhimpunan berkenaan.

Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana, Kepala Batas yang seperti sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mendapat kecaman warganet.